Kurang murid: Pindah atau gabung sekolah diutamakan

Nie Ching ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah SJKC Poi Chee di SP Saujana hari ini.
Nie Ching ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah SJKC Poi Chee di SP Saujana hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMASKINI] Kementerian Pendidikan mengutamakan pendekatan memindah atau menggabungkan sekolah sekiranya sekolah-sekolah terbabit berhadapan dengan masalah kekurangan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pihaknya akan mempertimbangkan kemungkinan itu secara berperingkat dan mendalam, bergantung kepada kajian terperinci ke atas sekolah terbabit.

Kata beliau, Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti sebanyak 30 peratus daripada kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara yang diklasifikasikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).

Menurutnya, kajian berdasarkan beberapa faktor antaranya keperluan murid pedalaman membabitkan masalah pengangkutan dan lain-lain.

No Image Caption

"Sekolah Kurang Murid membabitkan jumlah pelajar kurang daripada 30 orang dalam satu sekolah dianggap sebagai suasana yang tidak kondusif.

"Jadi kalau ada mereka akan dihantar ke sekolah berhampiran, kita akan pertimbangkan untuk gabungkan atau tutup tetapi berdasarkan syarat tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poi Chee di SP Saujana hari ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, tanggungjawab kerajaan yang lebih diutamakan ialah menyediakan akses pendidikan buat rakyat dan tidak akan sewenang-wenangnya menutup mana-mana sekolah SKM tanpa penelitian.

No Image Caption

"Kita kena buat kajian tak boleh terus tindakan dan sebab itu Kementerian Pendidikan kena turun padang tengok satu persatu," katanya.

Dalam pada itu, katanya, SJKC Poi Chee yang kini mempunyai 15 murid di Malau dalam daerah Kulim akan dipindahkan ke Sungai Petani dalam daerah Kuala Muda.

Pembinaan semula membabitkan bangunan sekolah 18 bilik darjah dianggarkan kos mencecah RM4 juta dan dijangka beroperasi di lokasi baharu selepas siap sepenuhnya pada 2021.

"Murid lama masih bersekolah di sekolah sama sehingga 2021 dan akan berpindah ke sekolah berhampiran," katanya.

Difahamkan, projek perpindahan SJKC Poi Chee dari Ladang Pelam ke Sungai Petani telah dirancang sejak tujuh tahun yang lalu.

Projek pembinaan dijangka bermula Jun atau Julai nanti selepas pelan pembangunan sekolah baharu diluluskan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah.