X

Kindly register in order to view this article
!

Indeks jenayah turun sejak 11 tahun

Huzir
A
A

KUALA LUMPUR - Kes indeks jenayah di Malaysia mencatatkan penurunan selama 11 tahun sejak tahun 2009.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebanyak 212,678 kes direkodkan pada tahun 2009, namun jumlahnya menurun kepada 84,485 kes pada tahun lalu.

"Kita telah mencatatkan penurunan purata 11,000 kes setiap tahun sejak 2009. Ini adalah penurunan drastik kerana usaha penguatkuasaan yang berkesan," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Huzir berkata, sebanyak 641,981 kes kecurian kenderaan sejak tahun 2009 hingga 2019 telah direkodkan.

"Sebilangan besar kes melibatkan kecurian motosikal dengan 464,446 kes dalam tempoh yang sama. Kita telah mencatatkan 61,394 kes curi motosikal pada tahun 2009 tetapi jumlahnya menurun kepada 22,507 kes pada tahun lalu," katanya.

Huzir berkata, pihaknya juga berjaya mematahkan banyak sindiket curi kereta sejak tahun 2009.

"Pada tahun 2009, sebanyak 14,422 kes dilaporkan, berbanding tahun lalu sebanyak 6,818 kes," katanya.

Beliau berkata, sindiket curi kereta menyasarkan kenderaan mewah dan akan diseludup ke luar negara.

"Sindiket juga akan meleraikan alat ganti kenderaan yang dicuri sebelum dijual semula," katanya.

Huzir berkata, bagi indeks jenayah pecah rumah, sebanyak 38,570 kes dicatatkan pada tahun 2009, berbanding 16,498 kes direkodkan pada tahun lalu.

"Jumlah rompakan bank juga mencatatkan penurunan dengan tidak lebih daripada lima kes setiap tahun sejak 2009. Namun tidak ada kes seperti itu dilaporkan pada tahun 2015 dan 2016. Tahun ini hanya dua kes rompakan bank tetapi ia masih terkawal," katanya.

Huzir berkata, pihaknya juga merekodkan 5,403 kes bunuh sejak tahun 2009 hingga 2019.

"Terdapat 5,542 mangsa termasuk 3,453 rakyat tempatan. Kita menahan 9,398 suspek, termasuk 5,038 rakyat Malaysia yang terlibat dengan kes bunuh. Motif kes bunuh itu, kebanyakkan berpunca daripada pertelingkahan dan salah faham," katanya.

Huzir memaklumkan penurunan drastik keseluruhan kes indeks jenayah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk perlaksanaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!