Apa jadi kepada projek KVDT2?

Kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrastruktur KDVT2.
Kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrastruktur KDVT2.
A
A
A

PENAMATAN kontrak Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2) secara mengejut oleh Kementerian Pengangkutan baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai masa depan projek itu yang amat penting dan diperlukan untuk pembangunan infrastruktur negara.

Difahamkan projek landasan sepanjang 265 kilometer meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang yang bernilai RM4.475 bilion itu yang sepatutnya dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun lagi kini kemungkinan akan berlanjutan sehingga 10 tahun, atau ia mungkin terbengkalai langsung.

Ini kerana selepas penamatan kontrak yang dibuat tanpa rasional yang jelas, proses untuk melakukan tender semula projek tersebut bukan sahaja mengambil masa yang lebih lama, malah ia dijangka meningkatkan kos projek termasuk pembayaran pampasan kepada syarikat yang telah diberi kontrak untuk melaksanakan KVDT2.

Menurut sumber, tindakan untuk menamatkan kontrak tersebut memberi kesan yang sangat besar kepada kewangan kerajaan Persekutuan dan ia tidak sepatutnya berlaku ketika negara perlu berhemah dan cermat dalam perbelanjaan pada ketika ini.

“Sekiranya kerajaan menghentikan kerja-kerja projek pembangunan sedia ada, kerajaan terpaksa melantik konsultan baharu yang akan pastinya mencecah kos jutaan ringgit.

“Kesukaran bukan setakat itu. Untuk mendapatkan data lapangan ia mengambil masa sekurang-kurangnya selama 16 bulan, proses rekaan mengambil masa sembilan bulan hingga setahun dan proses tender dokumen selama tiga bulan lagi.

“Kemudian proses tender ambil masa lagi tiga bulan, penilaian juga perlu masa tiga bulan, proses menganugerahkan tender antara tiga ke enam bulan, mobilisasi sebulan dan kerja-kerja di lapangan hanya bermula selepas tempoh enam bulan.

Artikel Berkaitan:

Kerja-kerja menaik taraf infrastruktur KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang dilaksanakan antara Kuala Lumpur, Seremban dan Pelabuhan Klang.
Kerja-kerja menaik taraf infrastruktur KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang dilaksanakan antara Kuala Lumpur, Seremban dan Pelabuhan Klang.

“Semua proses ini dianggarkan akan mengambil masa selama empat tahun. Jika projek KVDT2 dibida semula pada tahun ini, katakanlah tempoh kontrak enam tahun ditambah empat tahun tadi, jumlahnya 10 tahun. Projek yang sepatutnya siap pada tahun 2025 (jika menggunakan khidmat kontraktor sekarang) hanya akan siap pada tahun 2030,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, dakwaan Kementerian Pengangkutan yang mengatakan projek itu boleh dijimatkan sebanyak RM1 bilion itu juga tidak realistik.

Ada pihak membuat dakwaan kononnya projek itu boleh dibina dengan kos sebanyak RM3.398 bilion saja. Dalam konteks kos yang meningkat pada masa depan iaitu 10 tahun lagi, dakwaan itu, kata sumber berkenaan, adalah tidak ada asas langsung.

Kos projek

“Kos asal projek ini bernilai RM5.265 bilion dan telah diturunkan sebanyak 15 peratus semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Jadi adakah dengan melakukan proses tender semula akan menjadikan kos projek ini lebih rendah daripada yang telah dipersetujui?” soal beliau.

Kos menaik taraf kemudahan infrastruktur KVDT2 yang dirunding semula kerajaan PH adalah 15 peratus lebih rendah iaitu pada RM4.475 bilion dan ketika itu ia dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun, iaitu tambahan masa dua tahun daripada tempoh lima tahun yang ditetapkan lebih awal.

KVDT2 merupakan projek yang dibangunkan oleh Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) yang merupakan sebuah syarikat bumiputera dan bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah membentuk syarikat usaha sama, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd.

Antara skop kerja KVDT2 adalah menggantikan landasan kereta api berusia 25 tahun itu dengan landasan baharu, menaik taraf dan menyelenggara sistem elektrik, komunikasi dan menambah baik stesen-stesen kereta api terbabit.

Projek itu penting kerana terdapat beberapa lokasi di jajaran KVDT2 yang kerap mengalami banjir, sekali gus menjadi faktor kepada kejadian kegelinciran kereta api.

Kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrastruktur KDVT2.
Kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrastruktur KDVT2.

Justeru, usaha naik taraf itu bertujuan untuk meningkatkan mutu dan keselamatan perkhidmatan kereta api terutama untuk kereta api komuter dan tren elektrik (ETS).

Fasa pertama melibatkan naik taraf sistem kerja antara Rawang dan Seremban dan dari Sentul ke Pelabuhan Klang melibatkan jarak sejauh kira-kira 150 kilometer dengan kos sebanyak RM1.3 bilion dan dilaporkan telah siap sebanyak 85 peratus dengan tambahan masa 17 bulan daripada jadual asal yang mengambil masa empat tahun.

Bagaimanapun, pada 7 September lalu, Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, antara lain memohon bagi mendapatkan satu deklarasi bahawa terdapat kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan menerusi satu surat penerimaan bertarikh 19 Ogos 2019.

Projek itu mendapat perhatian ramai selepas Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diberikan secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.

Pada 28 Ogos lalu, Ka Siong dalam satu kenyataan mendakwa, kementeriannya akan membuka semula tender bagi projek KVDT2 selepas mengambil kira keputusan kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek yang dimaksudkan di bawah Dhaya Maju-LTAT terlalu mahal.

Apa yang ingin dilakukan oleh beliau telah menimbulkan persoalan besar.

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong