X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan tubuhkan MTKB pantau WKB2030

Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama Kuala Lumpur 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang akan bertindak sebagai satu mekanisme pemantauan peringkat tertinggi supaya objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dapat dicapai.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, WKB2030 merupakan dasar teras dalam pembangunan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Maka MKTB perlu ditubuhkan supaya ia dapat memberi impak positif secara langsung kepada rakyat dan negara, katanya.

“(MTKB) yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri, yang mana Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) pula akan bertindak sebagai sekretariat majlis serta jawatankuasa-jawatankuasa di bawahnya.

"Sepadu telah ditubuhkan sejak bulan Mac lalu untuk menerajui fungsi koordinasi dan pemantauan pelaksanaan program, inisiatif, projek di bawah WKB2030,” katanya ketika berucap di sesi Balai Rakyat [email protected] Lumpur anjuran Institusi Masa Depan Malaysia (Institut Masa) di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, bagi memastikan objektif yang telah ditetapkan dalam WKB 2030 tercapai, setiap pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program, projek dan inisiatif wawasan itu juga akan diberi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sasaran mengikut kluster 15 Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga pengasas Institut Masa berkata, kerajaan menyedari pandemik koronavirus (Covid-19) telah memberikan kesan terhadap beberapa teras strategik WKB 2030 selain menyebabkan banyak sektor ekonomi di negara ini telah terjejas.

“Sektor-sektor ekonomi kita terjejas dan pada masa ini berada dalam proses pemulihan. Saya merasakan bahawa pelaksanaan inisiatif-inisiatif bawah WKB 2030 seperti yang ditentukan di peringkat awal wawasan ini digubal, mungkin perlu diteliti semula dengan mengambil kira kesan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, masalah itu kini sedang giat ditangani menerusi inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Muhyiddin berkata, sebagai contoh bagi Teras 1 dan 2 WKB 2030 iaitu ekosistem perniagaan dan industri serta aktiviti pertumbuhan ekonomi utama, kerajaan melalui Geran Khas Prihatin (Perusahaan Kecil dan Sederhana Mikro) menyalurkan bantuan kewangan secara sekali beri khusus untuk meringankan beban kewangan perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Perdana Menteri juga berkata, di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, tiada siapa akan ketinggalan.

“Kemakmuran adalah buta warna. Ia tidak sepatutnya mendiskriminasi sesiapapun. Anda semua, tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Bidayuh, Bajau, Melanau, Orang Asal, anda semua berhak mengecapi kemakmuran dan kejayaan di dalam negara ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan jika WKB 2030 dilaksanakan dengan betul, ia akan menjadi model penyelesaian kepada masalah ketidaksamaan global.

Sementara itu pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan portal ‘Makmur Bersama’ yang direka khusus untuk membolehkan rakyat memberikan input, maklum balas dan cadangan berkenaan dengan WKB 2030. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!