Lantikan ADUN dibincang bersama PN, BN dan PBS

Hajiji Noor ketika mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri di PPNS hari ini. - Foto Bernama
Hajiji Noor ketika mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri di PPNS hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Hajiji Noor akan berbincang dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berhubung lantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) susulan ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet negeri.

Menurutnya, terdapat lima lagi menteri Kabinet yang akan mengangkat sumpah tidak lama lagi.

Sehubungan itu, beliau akan melakukan perbincangan supaya pentadbiran negeri akan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kita akan melihat perkara itu sebab kita ada lagi lima menteri lain yang akan mengangkat sumpah.

"Itu akan kita bincang dengan rakan semua dalam PN, BN dan PBS. Kita buat yang terbaik untuk mentadbir negeri Sabah ini," katanya dalam sidang akhbarnya yang pertama di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung wakil daripada kalangan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang akan dibentuk dalam kerajaan baharu yang diterajui olehnya.

Isu itu berbangkit selepas tiada calon mewakili masyarakat Cina yang memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu sekali gus menyebabkan golongan itu tidak mempunyai wakil dalam Kabinet negeri.

Berdasarkan kebiasaan sebelum ini, Kabinet negeri dibarisi tiga Timbalan Ketua Menteri, masing-masing mewakili bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan Cina.

Artikel Berkaitan:

Namun kerajaan negeri mungkin boleh mewujudkan ADUN dilantik mewakili masyarakat Cina untuk menyertai Kabinet negeri.

Terdahulu, dalam PRN lalu, dua calon dari kaum Cina mewakili PBS iaitu Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Kong Nyuk Thou kecundang untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api dan Karamunting.

Empat lagi kerusi yang dipertandingkan MCA iaitu di DUN Elopura, Karamunting, Likas dan Kapayan juga gagal walaupun semua calon yang BN kemukakan adalah wakil daripada kaum Cina.