X

Kindly register in order to view this article
!

Protokol ketibaan penumpang dari Sabah berjalan lancar

Kakitangan Malaysia Airports sentiasa bersedia untuk membantu penumpang bagi melakukan ujian saringan Covid-19 sebaik penumpang dari Sabah tiba di lapangan terbang KLIA dan KLIA2.
A
A

SHAH ALAM - Protokol ketibaan penumpang dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 berjalan lancar hari ini berikutan Malaysia Airport melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan dalam proses ujian saringan Covid-19.

Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Airports dalam satu kenyataan hari ini menjangkakan berlaku lonjakan jumlah penumpang yang tiba dari Sabah pada hari ini.

Menurut kenyataan itu, perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) serta semua pihak berkuasa yang berkaitan.

Katanya, sebanyak 10 penerbangan yang dijadualkan tiba di Terminal Utama KLIA dan 19 penerbangan di Terminal KLIA2 sepanjang hari ini.

“Kami turut difahamkan bahawa KKM akan menambah lebih ramai kakitangan di kedua-dua terminal itu bagi membolehkan ujian dilakukan pada kadar yang lebih cepat.

“Malah Malaysia Airports juga akan terus bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam menyalurkan bantuan kepada penumpang termasuk mengedarkan makanan dan minuman percuma kepada mereka,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia Airports turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan makanan dan minuman agar mereka dapat melanjutkan waktu operasi untuk memenuhi keperluan penumpang dari Sabah.

“Kebiasaannya masa operasi mereka sehingga jam 8 malam sahaja, namun kami telah meminta mereka melanjutkan masa operasi dengan lebih lama untuk kemudahan penumpang.

“Kami juga akan sentiasa berkomunikasi dengan Jawatankuasa Covid-19 yang merangkumi semua pihak berkepentingan untuk memberikan kerjasama terbaik, sekali gus dapat memberikan pengalaman dan perkhidmatan yang lebih lancar,” katanya.

Malaysia Airports turut mengumumkan bahawa pihaknya juga telah menambahkan bilangan pekerja daripada pasukan keselamatan dan bahagian perkhidmatan pelanggan untuk memastikan penjarakkan fizikal dapat dilakukan sepanjang proses saringan ujian Covid-19.

“Selain itu, warga emas, orang kurang upaya, ibu mengandung dan keluarga dengan anak kecil akan diberi keutamaan dalam membantu memudahkan lagi proses ketibaan mereka.

“Kami juga menyediakan tempat duduk tambahan di pintu masuk balai ketibaan serta di sepanjang jalan ke kawasan ujian bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada penumpang ketika menunggu giliran untuk melakukan saringan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saringan Covid-19 di KLIA, KLIA2 sesak


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!