X

Kindly register in order to view this article
!

Gas ammonia bocor, JKKP arah henti operasi

Pegawai JKKP Perak menjalankan siasatan di bahagian 'top cover piston compressor' susulan kejadian enam pekerja kilang terhidu gas ammonia di Hutan Melintang. - Foto JKKP Perak
A
A

IPOH - Operasi di bahagian proses penyejukbekuan di sebuah kilang pembuatan makanan di Hutan Melintang diarah dihentikan serta-merta susulan enam pekerjanya dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas ammonia bocor kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, larangan itu dikeluarkan selepas siasatan mendapati 'top cover piston compressor' mengalami keretakan dan pecah hingga menyebabkan gas ammonia terbebas.

"Pengujian gas yang dijalankan oleh pegawai dari Bahagian Higien Industri & Ergonomik JKKP mendapati bacaan gas ammonia melebihi had PEL 25 part per million (ppm) di sekitar bahagian yang telah ditampal oleh pihak kilang.

"Punca bahagian itu retak dan pecah masih belum dikenal pasti. Susulan itu, notis larangan dikeluarkan sehingga siasatan lengkap dijalankan dan tindakan penambahbaikan dibuat oleh majikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, seorang lelaki warga Bangladesh, dua wanita warga Mynamar dan tiga wanita warga tempatan berusia antara 20-an hingga 50-an dikejarkan ke Hospital Teluk Intan selepas terhidu gas tersebut.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang mengalami sesak nafas dan trauma itu telah dibenarkan pulang selepas beberapa jam menerima rawatan di hospital tersebut.

Zamzurin berkata, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja serta bertanggungjawab mengenal pasti bahaya tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!