Tengku Hassanal warisi sifat keprihatinan ayahanda, nenda

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah (kanan) bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah (kiri) dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim ketika raptai penuh Istiadat Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang di Istana Abu Bakar, semalam. - Foto Bernama
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah (kanan) bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah (kiri) dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim ketika raptai penuh Istiadat Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang di Istana Abu Bakar, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Ibarat ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, begitulah gambaran sifat keprihatinan dan mesra yang diwarisi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah daripada ayahanda dan nendanya, Sultan Ahmad Shah Almarhum Sultan Abu Bakar.

Diputerakan pada 17 September 1995, baginda sejak dari kecil telah menunjukkan ciri-ciri seorang pewaris takhta yang prihatin apabila sering mendermakan barangan kepada murid lain serta bermurah hati membantu termasuk memberi makanan kepada rakan-rakan yang kurang berkemampuan semasa zaman persekolahannya di Sekolah Rendah St Thomas, di sini.

Keperibadian murni itu diakui guru kelasnya, Kabtiah Zakariah, 65, yang menyaksikan putera raja itu tidak kekok bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang lain, semasa berada di Tahun Satu hingga Tahun Empat pada 2002 hingga 2005.

"Sewaktu di sekolah, saya mengajarnya subjek Matematik dan Bahasa Melayu di sekolah, malah saya turut mengajar baginda tuisyen Bahasa Inggeris di rumah saya dengan empat lagi adindanya setiap minggu sehinggalah masing-masing bersekolah di luar negara,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menceritakan detik awal persekolahan putera sulung Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, Kabtiah berkata Tengku Hassanal pada mulanya lebih suka bersendirian, pendiam dan kurang fokus ketika dalam kelas.

"Mungkin sebab baginda seorang anak yang manja...tapi lama-kelamaan Tengku Hassanal sendiri menunjukkan minat untuk belajar dan bergaul dengan rakan-rakan,” katanya.

Usaha baginda yang bersungguh-sungguh, kata Kabtiah membolehkan Tengku Hassanal mencatat peningkatan prestasi yang memberangsangkan sehingga baginda berjaya menerima anugerah pencapaian cemerlang akhir tahun.

“Lebih manis lagi, Tunku Azizah sendiri menyampaikan anugerah tersebut kepada Tengku Hassanal selepas berkenan berangkat hadir pada majlis anugerah kecemerlangan sekolah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengimbas kembali, Kabtiah berkata walaupun bangga dapat mendidik seorang anak raja, namun di hatinya bimbang jika tidak dapat melakukan tugas sebaik mungkin kerana mengajar murid-murid di Tahun Satu untuk mengenal huruf dan nombor bukanlah satu tugas mudah.

"Keprihatinan serta layanan baik diberikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terhadap kami guru di sekolah itu telah banyak melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran anakanda baginda serta semua murid di sekolah itu," katanya.

Seperti ibu bapa lain, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sentiasa memantau dan mengambil berat prestasi pelajaran Tengku Hassanal apatah lagi baginda merupakan putera sulung yang menjadi contoh kepada adindanya yang lain.

"Tunku Azizah terutamanya sering bertanya kepada kami (guru-guru) adakah Tengku Hassanal menunjukkan perkembangan yang baik. Baginda sendiri tegas dalam menegur dan menasihati anakanda baginda agar mengutamakan pelajaran.

"Ketika mula masuk sekolah (Tahun Satu), baginda datang setiap petang bagi menjenguk keadaan Tengku Hassanal. Tengku Ampuan Pahang juga tidak lokek menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada sekolah bagi memastikan anak-anak di sekolah ini dapat menimba ilmu dengan baik," kata Kabtiah, yang bersara pada 2008.

Sebagai seorang bekas guru, Kabtiah amat berharap pewaris takhta ini akan terus menunjukkan sifat-sifat terpuji yang ada padanya selama ini dan meneruskan legasi keluarga diraja Pahang yang selama ini cukup dikenali begitu prihatin dan dekat dengan rakyat.

"Setiap guru sudah pasti mendoakan yang terbaik untuk setiap anak muridnya...lebih-lebih lagi kepada Tengku Hassanal yang bakal menjadi raja pemerintah kepada rakyat negeri Pahang suatu hari nanti,” katanya.

Tengku Hassanal hari ini dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang, menggantikan ayahanda baginda yang kini menjadi Sultan Pahang keenam menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Anakanda ketiga pasangan diraja Pahang itu dimasyhurkan sebagai Tengku Panglima Besar Pahang pada 18 Jun tahun lepas.- Bernama

BIODATA TENGKU MAHKOTA PAHANG

Tengku Hassanal telah diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

PENDIDIKAN

2002 – 2005 : Sekolah Kebangsaan Saint Thomas, Kuantan, Pahang

2006 – 2009 : Caldiccott Preparatory School, London, United Kingdom

2009 – 2014 : Sherbone School, London, United Kingdom

2015 – 2018 : University Institute– Geneva School Of Diplomacy and International Relations

Bachelor of Arts In International Relations

27 Sept 2018 : Initial Cadet Familiarisation Training Programme, Kem Batu 10, Pekan

1 Jan 2019 - 14 Dis 2019 : Commisioning Course, Royal Military Academy Sandhurst

PELANTIKAN SEBAGAI TENGKU PANGLIMA BESAR PAHANG

Pada 18 Jun 2018 telah dilantik menjadi Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

PADUKA KEKANDA DAN ADINDA

Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Sultan Abdullah

Yang Mulia Tengku Puteri Iman Afzan binti Sultan Abdullah

Yang Mulia Puteri Ilisha Ameera binti Sultan Abdullah

Yang Mulia Tengku Puteri Ilyana binti Sultan Abdullah

Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Sultan Abdullah

Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Sultan Abdullah

Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Sultan Abdullah

Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Sultan Abdullah