Jurutera maut, isteri dan anak cedera dalam nahas

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan di Persiaran Tun Teja, Shah Alam semalam.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan di Persiaran Tun Teja, Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang jurutera maut, manakala isteri dan dua anaknya cedera apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan dalam kejadian di Persiaran Tun Teja di sini semalam.

Mangsa dikenali Ahmad Safwan Sulin, 32, disahkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Persiaran Panglima Sultan telah hilang kawalan.

"Kereta itu kemudian terbabas hingga melanggar Perodua Aruz yang dipandu mangsa.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa (Ahmad Safwan) parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya berusia 33 tahun dan dua anak mereka berusia lima dan tiga tahun dilaporkan mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Baharudin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan isteri serta anak mangsa pula dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

Beliau berkata, pemandu Proton Perdana itu kini masih berada di zon merah HTAR dan pihaknya juga telah mengambil sampel darah untuk ujian saringan alkohol serta dadah.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: