Guan Eng sifatkan Shafie paling sesuai teraju Sabah

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tetap dengan pendirian bahawa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan individu yang paling sesuai untuk menerajui Sabah.

Beliau berkata, mesej perpaduan yang dibawakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang itu bertepatan dengan keharmonian yang wujud di negeri tersebut.

"Kami percaya Shafie dan mesej perpaduan beliau masih merupakan yang paling sesuai untuk Sabah yang terkenal dengan keharmonian kaum dan persefahaman agama.

"Kita perlu terus menjunjung obor perpaduan untuk menyinari masa depan demi anak-anak kita," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Mengulas mengenai kejayaan DAP memenangi enam daripada tujuh kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, Guan Eng berkata, parti itu telah menunjukkan prestasi meyakinkan.

"Kami merakamkan penghargaan kepada semua pekerja dan sukarelawan DAP yang telah membantu kami memenangi keyakinan pengundi. Anda sememangnya hebat!," katanya.

Menurutnya, beliau sedar ramai yang sedih dengan kegagalan Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan, sekali gus menyaksikan peralihan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, perjuangan masih tamat.

Artikel Berkaitan:

"Perjalanan ini tidak boleh terhenti di sini. Jangan kita berputus asa dan menyerah kalah.

"Kita mesti terus membina sebuah negeri dan negara yang lebih baik demi semua rakyat Sabah dan rakyat Malaysia," katanya.