'Hampir setiap hari tak ada air'

Seorang penduduk menunjukkan keadaan bilik air di rumahnya yang dipenuhi baldi berisi air susulan kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual di Blok 41 PPR Gombak Setia.
Seorang penduduk menunjukkan keadaan bilik air di rumahnya yang dipenuhi baldi berisi air susulan kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual di Blok 41 PPR Gombak Setia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hampir setiap hari sebahagian penduduk Blok 41 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia di sini berdepan gangguan air tidak berjadual sejak dua tahun lalu.

Sebahagian penduduk berkumpul mengadukan masalah gangguan air dihadapi mereka yang semakin kritikal kebelakangan ini.
Sebahagian penduduk berkumpul mengadukan masalah gangguan air dihadapi mereka yang semakin kritikal kebelakangan ini.

Gangguan tidak menentu dihadapi penghuni pintu 17 hingga 24 di semua aras yang ada kalanya berlaku pada waktu pagi, petang atau malam antara dua ke tiga jam dan pernah sehingga sehari.

Penduduk mendakwa keadaan itu semakin kritikal selepas kerja mencuci tangki dilakukan apabila hampir setiap hari penduduk berdepan gangguan air.

Tangki air yang disediakan di Blok 41 PPR Gombak Setia.
Tangki air yang disediakan di Blok 41 PPR Gombak Setia.

Penduduk, Rosnita Abdul Kadir Jailani, 44 berkata, masalah sama berlaku semalam apabila kediamannya di tingkat 13 mengalami gangguan air dari jam 10 malam hingga 7 pagi.

Katanya, keadaan itu turut menyukarkan 168 keluarga lain terutama mereka yang mempunyai penghuni ramai, warga emas dan anak kecil.

"Hampir semua rumah akan menyimpan air sehingga memenuhi ruang bilik air dan ada yang terpaksa mengangkut air dari tangki yang disediakan di bawah unit ini jika tidak mencukupi," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

ISMAIL KADIR
ISMAIL KADIR

Seorang lagi penduduk, Ismail Kadir, 58 berkata, dia yang tinggal bersama 11 ahli keluarga yang lain termasuk tiga cucu hadapi kesulitan sama setiap kali berlaku gangguan air.

"Kalau tempat lain tak ada air mereka akan terima notis, tetapi kami di sini tiada air tanpa sebarang sebab.

"Rumah saya pernah tiga hari tiada air, pernah juga seharian kami anak-beranak tidak mandi. Kalau lebih enam jam terpaksalah kami mengangkut air di bawah," katanya.

KHASIDAH ABD JALIL
KHASIDAH ABD JALIL

Situasi sama turut dihadapi Khasidah Abd Jalil, 52 yang tinggal dalam keluarga besar.

Khasidah memberitahu, dia kerap membeli air minuman dan kini sudah tidak mampu menghabiskan wang untuk tujuan itu selain terpaksa menggunakan kudrat ahli keluarganya mengangkat air berkenaan.

Katanya, dia pernah membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi masalah tidak selesai.

KHAIR NASARUDDIN
KHAIR NASARUDDIN

Sementara itu, Ketua Blok 41 PPR Gombak Setia, Khair Nasaruddin Mohd Khair berkata, isu tersebut telah dikemukakan kepada pihak DBKL dan juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dalam usaha memulihkan gangguan air tidak berjadual itu.

"Saya tidak pasti punca gangguan sama ada disebabkan tekanan air rendah, masalah pam rosak atau kapasiti penggunaan sudah di tahap maksimum," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan sudah dilakukan oleh Unit Teknikal DBKL tetapi masalah itu tidak selesai dan semakin serius sejak Mei lalu.

"Saya berharap DBKL dan agensi berkaitan membantu kami selesaikan masalah ini kerana air ini adalah keperluan harian. Apabila kerap gangguan bekalan air menimbulkan banyak masalah kepada isi rumah.

"Ada juga saya tanyakan penduduk di kawasan kejiranan tapi mereka tidak hadapi masalah sama, besar kemungkinan penggunaan air di Blok 41 berapa pada tahap maksimum dan perlu di naik taraf untuk atasi masalah gangguan air ini," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika diminta mengulas berhubung perkara itu memaklumkan masalah itu berpunca daripada tekanan air rendah.

"Gangguan dilaporkan berlaku setiap minggu melibatkan penghuni di tingkat 12 hingga 16 dan kejadian itu kerap berlaku.

"Saya sudah meminta pegawai Pengurusan Air Selangor turun bersama DBKL berjumpa jawatankuasa penduduk bagi mencari penyelesaian masalah tersebut," katanya.