Shafie Apdal jatuh dari puncak kuasa

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin (dua, kanan) bersama para pemimpin parti ketika menyaksikan keputusan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah. -Foto Bernama
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin (dua, kanan) bersama para pemimpin parti ketika menyaksikan keputusan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah. -Foto Bernama
A
A
A

PILIHAN raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 menjadi saksi kebangkitan Pakatan Harapan (PH) selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah lebih 60 tahun mendominasi pemerintahan negara.

Namun memasuki tahun 2019 momentum PH semakin perlahan terutamanya selepas BN membentuk kerjasama dengan Pas sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional.

Pada tahun 2020 tsunami politik semakin ganas membadai PH apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar daripada PH.

Akibatnya kerajaan PH tumbang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Peralihan kuasa gabungan di Pusat menyaksikan satu demi satu kerajaan negeri iaitu Perak, Melaka, Kedah dan Johor turut bertukar tuan memihak kepada PN.

Drama politik ganas itu turut berjangkit ke Sabah apabila Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Ketua Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada penghujung Julai lalu.

Pada satu ketika, Tan Sri Musa Aman daripada BN hampir diangkat semula sebagai Ketua Menteri namun, Mohd Shafie berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang diadakan semalam.

Sekali imbas Mohd Shafie mengambil satu langkah bijak berbanding menyerahkan kuasa kepada Musa begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafie yakin rakyat akan kembali memberikan mandat kepada Warisan Plus iaitu gabungan daripada beberapa parti dari Semenanjung iaitu PKR, DAP dan Amanah serta parti tempatan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Namun, walaupun Shafie dan Warisan Plus mengangkat semangat ‘Sabah untuk Sabahan’ sepanjang kempen dua minggu, namun keputusan PRN kali ke-16 malam tadi memberi tamparan hebat buat bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu.

Parti gabungannya tewas sekali gus menyaksikan Mohd Shafie jatuh dari puncak kuasa selepas memerintah Sabah selama 29 bulan.

Strategi makan diri

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg melihat kesilapan utama Mohd Shafie adalah kerana beliau memperjuangkan retorik semangat ‘Sabah untuk Sabahan’ bagi menawan hati pengundi.

Hakikatnya, menurut Romzi, sekiranya Shafie jujur untuk memperjuangkan semangat berkenaan, beliau tidak menyertakan parti dari Semenanjung iaitu PKR, DAP dan Amanah dalam sekutunya.

“Rakyat Sabah tidak mahu lagi bermain dengan retorik politik semata-mata. Kalau kita nak sangat ‘Sabah untuk Sabahan’, kenapa tidak tolak terus parti PKR, DAP dan Amanah. Itu salah satu kesilapan Mohd Shafie.

Walaupun cuba mempertahankan kedudukannya, namun Shafie Apdal terpaksa akur dengan kekalahan di tangan BN, PN dan PBS.
Walaupun cuba mempertahankan kedudukannya, namun Shafie Apdal terpaksa akur dengan kekalahan di tangan BN, PN dan PBS.

“Beliau mengatakan menolak parti dari Semenanjung tetapi bekerjasama dengan parti dari Semenanjung melalui Warisan Plus. Itu kesilapan yang memakan diri,” katanya kepada Sinar Harian malam tadi.

Selain itu, menurut Romzi, terdapat dua faktor lain yang menyebabkan tumpulnya taring Mohd Shafie walaupun beliau mempertahankan kemenangannya di DUN Senallang.

Faktor itu, tegas Romzi, adalah kegagalan Mohd Shafie menghalang PRN daripada berlaku ketika Sabah berdepan dengan pandemik Covid-19 dan sentimen antipendatang asing terutama di sepanjang pantai barat dan pedalaman Sabah.

“Kita masih lagi berhadapan dengan isu kemiskinan dan dalam keadaan sekarang iaitu melibatkan isu pandemik Covid-19. Tambahan pula ketika pandemik berlaku, kerajaan negeri ada masalah untuk menangani penularan wabak tersebut.

“Sehingga kini ada juga rakyat cuba menyalahkan kerajaan negeri sebab kenapa tidak menghalang PRN. Seolah-olah ada kerisauan dalam kalangan pengundi yang juga membawa kepada persepsi khususnya Ketua Menteri tidak melihat aspek keselamatan rakyat dan cuba mengheret rakyat ke satu situasi iaitu bertarung nyawa dengan Covid-19.

“Selain itu saya juga melihat tentang isu imigrasi dan ada juga rakyat mengatakan apabila Warisan menjadi kerajaan, golongan yang diragui kewarganegaraan semakin berani tampil ke hadapan. Itu khususnya mempengaruhi pengundian terutamanya melibatkan kawasan Kadazan Dusun Murut,” katanya.

Sehaluan dengan Pusat

Berkongsi pandangan yang sama, Pensyarah Kanan (Kerajaan dan Politik) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, tindakan pembubaran DUN Sabah oleh Presiden Warisan itu merupakan langkah reset untuk menyelesaikan krisis politik Sabah pasca-PRU14.

“Dengan pembubaran DUN Sabah, ini bermakna beliau telah bersedia dengan kemungkinan yang bakal berlaku sama ada menang atau kalah pada PRN Sabah,” katanya.

Tony berkata, ketika pembubaran DUN yang dibuat pada 30 Julai lalu, Mohd Shafie percaya beliau mempunyai sokongan kuat daripada Warisan dan parti dalam PH serta UPKO.

Namun keputusan dengan kemenangan tipis yang memihak kepada PN, BN dan sekutunya membuktikan percaturan Mohd Shafie kali ini membawa padah sehingga menyebabkan beliau hilang majoriti untuk membentuk kerajaan selepas hampir 60 peratus daripada 1.1 juta pengundi membuang undi semalam.

Menurut Tony, terdapat banyak faktor yang menyebabkan rakyat Sabah tidak kembali memilih Warisan antaranya termasuklah isu melibatkan ekonomi.

“Berdasarkan tinjaun yang dilakukan badan-badan bebas, terdapat beberapa isu yang menjadi keutamaan rakyat antaranya isu ekonomi yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

No Image Caption

“Rakyat melihat bagaimana bantuan-bantuan disalurkan dan bagaimana ekonomi negara diuruskan menyebabkan mereka lebih tertarik kepada PN dan mereka percaya PN dapat menangani isu-isu ekonomi semasa.

“Keduanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membicarakan tentang pembangunan dan kestabilan berjaya meyakinkan rakyat Negeri Di Bawah Bayu,” katanya lagi.

Beliau berkata, amat penting kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan sehaluan agar segala perancangan dan pembangunan berjalan dengan lancar dan berkesan.

Ditanya sama ada keputusan PRN Sabah ke-16 mampu memberi impak kepada kerajaan Pusat ketika ini dan juga kepada PRU-15, Tony berkata, PRN Sabah sangat penting sebagai salah satu indikator dan kayu pengukur kepada kepimpinan PN di peringkat nasional.

“Ia sudah pasti menyuntik semangat dan keyakinan terhadap PN dan juga kepimpinan Muhyiddin. Kemenangan ini akan mengukuhkan kedudukan PN dalam menghadapi PRU kelak,” katanya.