PRN Sabah: 2,540 saluran mengundi dibuka mulai 7.30 pagi

Pegawai kesihatan mengambil kehadiran setiap petugas Suruhanjaya Pilihan Raya dan media yang bertugas pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup hari ini. Foto Bernama
Pegawai kesihatan mengambil kehadiran setiap petugas Suruhanjaya Pilihan Raya dan media yang bertugas pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa, akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada 5 petang.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca pada sebelah pagi diramal hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan manakala ribut petir di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah petang.

No Image Caption

Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19 terutama di Sabah yang saban hari menyaksikan peningkatan kes positif baharu virus itu, seramai 1,594 petugas kesihatan turut ditempatkan di pusat mengundi di seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali pula meminta orang ramai agar keluar mengundi tanpa sebarang keraguan dan pihaknya memberi jaminan proses PRN Sabah akan berjalan lancar.

PRN tersebut diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat mengundi rakyat Sabah

Artikel Berkaitan: