Diperdayakan kursus berfikir?

No Image Caption
A
A
A

BENARKAH pengajaran KBAT atau Kemahiran Berfikir Aras Tinggi mengajar pelajar berfikir aras tinggi?

Cuba tanya soalan ini: Kalau Einstein lahir dalam sistem pendidikan KBAT kita, adakah Einstein akan berjaya menghasilkan teori relativiti yang merevolusikan sains dunia? Adakah budaya pendidikan kita akan berjaya menaikkan Einstein yang gagal matematik di sekolah dan tidak berjaya lulus ujian pertama kemasukan ke universiti?

Adakah budaya universiti kita akan berjaya mendidik Stephen Hawking, seorang mahasiswa yang lumpuh seluruh badan (kecuali gerakan jari) sehingga menjadi saintis yang cipta revolusi sains global? Bahkan penulis ingin terus mempersoalkan KBAT iaitu sejauh manakah KBAT berjaya melahirkan ulama-ulama seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi, Wahbah Zuhaili, Ramadhan Al-Buti, Abdullah Bin Bayyah atau yang lebih rendah daripada ini seperti Hamzah Yusuf, Shabbir Ally, Muhammad Asad?

Bagi saya, kualiti pendidikan bukan terletak pada ranking oleh agensi-agensi komersial Barat atau pada pengiktirafan oleh UNESCO, tetapi kualiti pendidikan terletak pada kualiti ilmuwan yang kita berjaya lahirkan. Kalau hebat, tunjukkan buku karangan ilmuwan yang di katakan berkualiti itu untuk dibandingkan dengan penulisan ilmuwan Barat dan Israel!

Penulis mempunyai pengalaman mengajar selama lebih 20 tahun dan mendapati bahawa mahasiswa dari dulu sampai ke hari ini menghadapi satu masalah yang sangat kronik iaitu mereka bukan sekadar malas membaca tetapi tak faham apa yang mereka baca khususnya buku-buku ilmiah.

Bila penulis kata mereka tidak faham, maknanya ialah bukan mereka tak tau 'membaca' ayat-ayat Inggeris tetapi mereka tak dapat kaitkan relevannya satu istilah yang digunakan dalam sebuah buku dengan konteks buku berkenaan secara keseluruhan dan dengan wacana semasa.

Saya lihat masalah ini juga melanda pensyarah sendiri dan hatta profesor sendiri. Contohnya baru-baru ini saya telah mengkritik seorang profesor yang telah menterjemahkan perkataan 'aql kepada 'head' (kepala). Profesor ini telah memberi syarahan tentang taksonomi pendidikan Islam! Masalahnya pensyarah yang begitu ramai hadir dalam syarahannya yang ditujukan khas kepada pensyarah sahaja juga mendiamkan diri terhadap terjemahan yang keliru itu. Adakah masalahnya terletak pada rendahnya tahap pemikiran pensyarah atau masalahnya jauh lebih parah daripada isu KBAT?

Saya juga lihat dalam sebuah forum pendidikan online di mana seorang Naib Canselor sebuah universiti tempatan menyalahkan masalah intelektualiti mahasiswa ke atas bahu ibu bapa. Adakah Naib Canselor itu tidak sedar bahawa pelajar lebih banyak menghabiskan masa intelektualiti di kampus daripada di rumahnya selama empat ke lima tahun? Ibu bapa telah menyerahkan amanah mendidik ke tangan profesor ini tetapi bila pelajar ini gagal, ibu bapa pula disalahkan. Kalau pelajar ini berjaya, universiti pula yang mendapat nama! Adakah ini masalah KBAT atau yang lebih parah?

Artikel Berkaitan:

Kita perlu tanya mengapa mahasiswa kurang membaca buku-buku ilmiah tinggi? Seorang mahasiswa memberitahu saya bahawa beliau bukan malas tapi kerana tak faham apa yang beliau cuba baca, akhirnya putus asa dalam membaca! Give up! Adalah ini masalah KBAT atau yang lebih parah?

Bagi penulis, majoriti pelajar yang skor A dalam subjek kemahiran berfikir tinggi tidak semestinya mampu berfikir tinggi pada hakikatnya. Ini adalah kerana kegagalan menghayati 'ilmu sebagai Sinaa'ah' seperti yang didedahkan oleh Ibn Khaldun.

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak