Pesawat AS di ruang udara sewaktu pegawai Korea Selatan dibunuh

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

SEOUL - Sebuah pesawat peninjau Amerika Syarikat (AS) dilapor terbang di ruang udara Laut Kuning awal minggu ini pada hari Korea Utara menembak seorang pegawai kerajaan Korea Selatan dekat sempadan perairan, lapor agensi berita Yonhap.

Pada Selasa, Korea Utara didakwa menembak seorang pegawai perikanan di kawasan perairannya dan membakar mayat mangsa, menurut tentera Korea Selatan. Pegawai itu dilaporkan hilang pada Isnin ketika menjalankan tugas dekat pulau Yeonpyeong di sempadan Laut Kuning.

Menurut Aircraft Spots pada Selasa, sebuah pesawat RC-135S Cobra Ball menjalankan misi di Laut Kuning namun tidak menjelaskan dengan tepat masa sebenar misi itu tetapi operasi dilakukan pada siang hari.

Kementerian Pertahanan Seoul berkata, pihaknya mengetahui mengenai kejadian berkenaan dengan menganalisis risikan daripada pelbagai sumber dan seorang pegawai tentera mengatakan pihaknya bekerjasama dengan pihak AS berhubung perkara itu. Korea Utara masih tetap mengunci mulut mengenai insiden berkenaan.

RC-135S sering digunakan untuk menjalankan misi mengumpul data optik dan elektronik mengenai sasaran balistik, menurut Tentera Udara AS. Pesawat itu dilengkapi pelbagai sensor optik dan elektronik, alat rakaman serta peralatan komunikasi canggih untuk mengumpulkan maklumat penting.

AS sering menghantar pesawat itu bersama pesawat pengintip lain ke Semenanjung Korea, dilaporkan untuk memantau Korea Utara. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai Korea Selatan hilang ditembak mati di Korea Utara

Artikel Berkaitan: