Koperal polis ditahan kes tipu pemandu lori

Nik Ezanee
Nik Ezanee
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang koperal polis ditahan kerana disyaki menipu seorang pemandu lori berhubung urusan pembayaran saman trafik.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam, semalam.

"Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif dadah Methamphetamine," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Nik Ezanee, dalam kejadian pada 17 September lalu, mangsa berusia 46 tahun telah membuat semakan saman ke atas anaknya, mendapati jumlah keseluruhan saman adalah RM1,120.

"Suspek yang bertugas di Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menawarkan bantuan untuk menyelesaikan saman itu dengan hanya mangsa perlu membayar RM500," katanya.

Beliau berkata, suspek memberi alasan kepada mangsa bahawa dia mempunyai rakan di Trafik Bukit Aman yang boleh membantu pengurangan saman itu.

"Disebabkan percaya dengan kata-kata suspek, mangsa memasukkan wang RM500 ke dalam akaun suspek.

"Suspek juga berjanji menyelesaikan masalah saman itu dalam tempoh tiga hari, namun sehingga hari ini saman tersebut masih belum selesai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang awam juga dinasihatkan melakukan semakan saman melalui semakan online atau mana-mana kaunter Trafik (Cops) di seluruh negara," katanya.