Dukung aspirasi kerajaan baharu: MB Johor

Osman bersama barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor
Osman bersama barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pegawai dan anggota perkhidmatan awam Johor perlu mendokong aspirasi kerajaan baharu untuk mencapai status negeri berprestasi tinggi.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, negara kini di ambang perubahan paling hebat sejak kemerdekaan dan fasa pembaharuan itu menuntut semua pihak bermuafakat bagi merealisasikan matlamat Malaysia Baharu.

Menurutnya, Malaysia Baharu merupakan respon rakyat yang inginkan perubahan dan menuntut jentera kerajaan melakukan transformasi secara menyeluruh.

"Selain anggota pentadbiran diberi mandat mentadbir negeri ini, cabaran juga terletak di bahu penjawat awam negeri yang saya pasti memikul satu tugas berat.

"Lebih-lebih lagi pertukaran kerajaan ini berlaku selepas 61 tahun. Pastinya ada di antara penjawat awam negeri yang sudah terbiasa dengan budaya dan cara kerja kerajaan sebelum ini," katanya ketika menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota perkhidmatan awam Johor di sini, semalam.

Osman berkata, pegawai dan anggota perkhidmatan awam Johor diminta membuktikan tahap profesionalisme dan melaksanakan program atau inisiatif pentadbiran baharu.

"Sesungguhnya, rakyat meletakkan harapan cukup tinggi terhadap pentadbiran baru ini dan penjawat awam negeri untuk segera merealisasikan semua perubahan dan dasar yang diperkenalkan.

"Jangan nanti kerana kelewatan menyesuaikan diri dengan manifestasi kerajaan baru, rakyat mempersoalkan kesungguhan pentadbiran ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Osman menyatakan kerajaan pimpinannya komited menterjemahkan aspirasi rakyat dan menerajui perubahan serta membawa Johor mencapai status negeri maju, berprestasi tinggi serta bangsa bestari.

"Era yang akan menjadikan Johor sebagai sebuah negeri disegani dek kemakmuran ekonominya, rakyat berbudaya dengan minda yang celik dan pembangunan lestari," katanya.

Osman berkata, kepimpinan negeri sentiasa berusaha mewujudkan satu kerajaan dan pentadbiran mesra dan membela kebajikan rakyat serta cekap.