Majoriti penuh hanya dakwaan semata-mata, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai majoriti penuh untuk membentuk kerajaan baharu hanyalah dakwaan semata-mata.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Anwar perlu membuktikan sokongan terhadapnya mengikut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Tanpa proses tersebut, kenyataan Anwar hanya dakwaan semata-mata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) masih berdiri teguh sehingga dibuktikan sebaliknya.

"Saya adalah Perdana Menteri yang sah," katanya.

Muhyiddin turut menyeru agar rakyat bertenang menghadapi situasi politik tersebut.

"Insya-ALLAH, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, ketika pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin yang disiarkan secara langsung di televisyen, Muhyiddin mengajak rakyat supaya menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, negara pada ketika ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dokongan daripada rakyat supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan.

"Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini," katanya.

Beliau turut mengajak rakyat untuk bersama-sama dengan beliau dan rakan-rakan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengemudi negara dalam keadaan masih berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan pada masa ini.

"Pengumuman yang saya buat pada hari ini menandakan Kerajaan PN mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian. Kita cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di sekitar Pusat Pentadbiran Persekutuan, Putrajaya berada dalam keadaan tenang susulan perkembangan terkini politik tanah air itu.

Urusan pentadbiran kerajaan Persekutuan juga berjalan lancar dengan Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Muhyiddin di Perdana Putra berlangsung seperti kebiasaan pada hari Rabu.

Sejurus selepas tamat mesyuarat Kabinet, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh muncul secara langsung di televisyen bagi menyampaikan Perutusan Khas Kita Prihatin berhubung kerangka inisiatif tambahan khas yang dibawa kerajaan di bawah program Prihatin.