X

Kindly register in order to view this article
!

Trump terus salahkan China pada Perhimpunan Agung PBB

Trump tetap menyalahkan China berhubung pandemik koronavirus (Covid-19) dalam ucapannya semalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
A
A

NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyalahkan China berhubung pandemik koronavirus (Covid-19) dalam ucapannya semalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada perhimpunan itu yang dikendalikan hampir keseluruhannya secara maya berikutan pandemik Covid-19, Trump menyampaikan ucapan dengan mood pilihan raya manakala Presiden China, Xi Jinping mendedahkan sasaran baharunya iaitu memerangi masalah perubahan iklim.

Ketika jumlah kematian akibat Covid-19 mendekati angka 200,000 di AS iaitu tertinggi di dunia, Trump mengkritik Beijing dan PBB kerana tidak menghalang pandemik tersebut malah merujuknya dengan menggunakan terma 'virus China.'

"Kerajaan China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang sebenarnya dikawal oleh China tersilap ketika mengisytiharkan bahawa tidak ada bukti jangkitan (Covid-19) daripada manusia ke manusia," kata Trump dalam ucapannya menerusi rakaman video.

Beliau merujuk kepada kenyataan awam oleh WHO selepas Beijing cuba menyembunyikan kes awal Covid-19.

Sebelum ini, Trump memberikan notis bahawa AS sedang menarik keluar daripada menganggotai badan kesihatan badan dunia itu yang mana ia juga penyumbang kewangan terbesarnya.

Bercakap sebelum pengumuman mengenai janji China untuk menangani perubahan iklim, Trump yang juga menarik keluar AS daripada perjanjian perubahan iklim Paris berkata, para pengkritiknya telah mengabaikan pencemaran yang dilakukan oleh China secara berleluasa.

"Mereka (para pengkritik) hanya mahu menghukum Amerika. Dan saya tidak akan menyokongnya," tambahnya.

Sementara itu, Jinping yang menyampaikan ucapan dengan cara sederhana memberitahu, dunia tidak sepatutnya mempolitikkan perjuangan bagi menentang Covid-19.

Dalam satu langkah yang dipuji oleh aktivis alam sekitar, beliau mengumumkan negaranya akan menjadi negara pengeluar karbon dioksida yang neutral menjelang tahun 2060.

China sebelum ini merupakan negara terbesar yang mengeluarkan pencemaran alam sekitar. Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan tentang perbalahan antara AS dengan China dengan berkata: "Kita perlu melakukan apa sahaja untuk mengelak satu perang dingin yang baru." - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!