Dua calon PBS sokong STAR, dua calon Bebas sokong PBS

Jeffrey (dua dari kiri) bersama Jahid bertukar dokumen persetujuan bagi memberi sokongan kepada calon yang bertanding menerusi PN.
Jeffrey (dua dari kiri) bersama Jahid bertukar dokumen persetujuan bagi memberi sokongan kepada calon yang bertanding menerusi PN.
A
A
A

KOTA KINABALU – Dua calon Parti Bersatu Sabah (PBS) menarik diri daripada meneruskan kempen sesama sendiri menentang calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan pada 26 September ini.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu telah dicapai melalui persetujuan di antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) melalui perbincangan yang dilakukan bersama antara kedua parti berkenaan.

“Dalam mana kita mahu mengambil alih kuasa daripada kerajaan Warisan (Parti Warisan Sabah), sudah tentu kita mahu kemenangan yang besar dalam perbincangan yang kita lakukan beberapa hari ini. Kawasan berkenaan adalah Tambunan di mana kita mahu Dr Jeffrey Kitingan (Presiden STAR) sahaja bertanding manakala PBS akan tarik diri.

“Satu lagi kawasan adalah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor di mana kedua-dua kawasan ini akan ditandingi calon STAR dan akan disokong oleh PBS,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim.

Hamzah (tengah) bersama Jahid (kiri) dan Jeffrey selepas sidang akhbar hari ini.
Hamzah (tengah) bersama Jahid (kiri) dan Jeffrey selepas sidang akhbar hari ini.

Hamzah berkata, selain dua kawasan berkenaan, dua lagi kawasan yang ditandingi calon Bebas iaitu DUN Bengkoka (Akian Ah Kiew) dan DUN Api-Api (Marcel Jude) juga akan turut menarik diri daripada berkempen bagi menyokong calon PN dan rakan sekutu.

“Empat kawasan ini tiada pertembungan antara STAR dan PBS lagi dan akan memberikan peluang untuk calon-calon kita menang dalam PRN Sabah kali ini. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengorbanan yang telah diberikan kepada kita.

Artikel Berkaitan:

“Mereka membuat keputusan untuk menarik diri dari berkempen adalah atas kerelaan hati dan tidak ada paksaan daripada mana-mana pihak selain kita turut menandatangani persetujuan ini.

“Mereka yang menarik diri daripada berkempen mewakili PBS di dua DUN berkenaan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada STAR manakala calon Bebas di DUN Bengkoka dan Api-Api pula akan menyokong penuh calon PBS,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya juga masih mengadakan perundingan di empat kawasan lain bagi memastikan tidak ada pertembungan pada PRN kali ini.

“Ketika ini sudah ada empat DUN, akan datang akan ada lagi empat kerusi DUN masih dalam perbincangan sebelum hari pengundian,” katanya.