Dua lelaki maut kereta bertembung treler

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Sitiawan mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut di Jalan Sitiawan-Teluk Intan, Lumut hari ini. - Foto JBPM Perak
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Sitiawan mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut di Jalan Sitiawan-Teluk Intan, Lumut hari ini. - Foto JBPM Perak
A
A
A

LUMUT - Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di KM33 Jalan Sitiawan-Teluk Intan berhampiran Kampung Kayan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Wira, Zabidi Mubi, 40, dan penumpang, Mohd Raimi Rustam Mohammad Rozi, 34, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati treler tersebut dari arah Teluk Intan menghala ke Ayer Tawar, manakala kereta dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Keadaan itu menyebabkan treler yang dipandu lelaki berusia 43 tahun tidak sempat brek lalu melanggar di bahagian hadapan kereta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan kereta cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Terdapat dua mangsa tersepit dalam sebuah kereta. Operasi mengeluarkan mangsa diteruskan dengan menggunakan peralatan khas.

"Kedua-dua mangsa yang berjaya dikeluarkan telah disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada jam 8.18 pagi," katanya.