X

Kindly register in order to view this article
!

Henti salahkan SPRM wujudkan portal bahasa Mandarin

Teo Kok Seong
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu berhenti menyalahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mewujudkan portal bahasa Mandarin.

Sebaliknya, perlu dinilai semula mengapa berlaku kegagalan orang Cina memahami bahasa Melayu sedangkan ia adalah bahasa kebangsaan.

Menurut laporan portal MalaysiaGazette, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, tindakan SPRM itu tidak salah di sisi undang-undang kerana ia tertakluk dalam Seksyen 3 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Beliau berkata, di bawah seksyen itu juga menyebut tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak Kerajaan mana-mana negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.

Katanya, sewajarnya orang-orang politik perlu melihat lebih mendalam mengapa orang Cina masih gagal memahami bahasa Melayu sedangkan ia adalah bahasa negara Malaysia.

“Lihat semua apa kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan selama ini hingga menyebabkan bahasa Melayu tidak menjadi bahasa negara bangsa.

“Apa yang telah berlaku dalam sistem pendidikan, apakah langkah-langkah penegasan telah dibuat ke atas rakyat agar kebolehan berbahasa dan memahami bahasa Melayu itu suatu yang wajib seperti diperuntukkan dalam perlembagaan.

“Paling penting, tanya dengan orang Cina kenapa masih gagal berbahasa dan memahami bahasa Melayu walaupun memiliki kerakyatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perbahasan beberapa pihak terutamanya pemimpin parti-parti politik yang mengecam badan itu mewujudkan portal bahasa Mandarin sebagai tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sedangkan tujuan SPRM menambah pilihan bahasa itu adalah untuk menyampaikan maklumat badan itu dengan lebih meluas, malah badan itu turut menyediakan lima bahasa lain sebagai pilihan iaitu Perancis, Hindi, Itali, Sepanyol dan Urdu di laman sesawang SPRM.

Sementara itu, Kok Seong berkata, tindakan melenting atau melatah menyalahkan badan itu adalah tidak tepat, sebaliknya perkara asas kenapa orang Cina tidak boleh berbahasa Melayu perlu dilihat dan diperbetulkan.

"Pada tahun 2010, Program Latihan Khidmat Negara telah membuat kaji selidik ke atas 13,925 orang responden dan mendapati 609 orang pelatih tidak boleh berbahasa Melayu langsung.

"Mengapa ia berlaku kerana kebanyakan mereka ini mendapat pendidikan dari sekolah Cina atau tidak meneruskan pendidikan di sekolah menengah.

“Inilah bukti kegagalan sekolah vernakular yang jelas tetapi tidak pernah hendak diakui oleh mana-mana pemimpin Cina pun.

“Logiklah, tidak faham bahasa Melayu kalau di sekolah semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Cina,” katanya.

Menurut Kok Seong, perkara itu adalah sangat memalukan kerana sudah 57 tahun pembentukan Malaysia dan 63 tahun mencapai kemerdekaan namun masih ada rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Melayu.

Sedangkan, katanya, pekerja asing dari Bangladesh, Nepal dan pelarian Rohingya pun boleh menguasai bahasa Melayu dalam tempoh enam bulan berada di negara ini.

"Adalah menjadi tanggungjawab besar kerajaan untuk melihat semula keadaan ini walaupun ia adalah isu sensitif bagi seluruh rakyat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!