X

Kindly register in order to view this article
!

Perbicaraan Najib sahkan banyak isu

A
A

SESETENGAH kebimbangan kita mengenai kesan buruk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibangkitkan sejak tahun 2013. Ia susulan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melihat pencapaian Barisan Nasional (BN) menjadi lebih buruk daripada PRU tahun 2008.

Pada PRU zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN hilang majoriti dua pertiga buat kali pertama di Dewan Rakyat tetapi keputusan PRU 2013 di bawah pimpinan Najib lebih teruk. Naratif popular ketika itu ialah Najib wajib memperbaiki rekod pencapaian Abdullah. Seandainya gagal, beliau wajar mengundur diri tetapi sebaliknya Najib mengukuhkan cengkaman ke atas pemerintahan melalui nepotisme, kronisme dan penyalahgunaan undang-undang.

Secara peribadi, saya turut berkongsi kebimbangan itu dalam tulisan-tulisan saya berhubung tindakan menjual aset Felda melalui tawaran awam permulaan (IPO) Felda Global Ventures Berhad (FGV) pada akhir tahun 2012 dan pelanti-kan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) pada tahun berikutnya.

Jadi, apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dalam perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 September memberitahu bahawa beliau risau dengan hutang 1MBD yang terlalu banyak, beliau sekadar mengesahkan apa yang saya tulis selama ini.

Lebih merisaukan adalah kemampuan membayar balik hutang tersebut.

Mohd Hazem menyebut khusus mengenai hutang daripada Malayan Banking Berhad (Maybank) sebanyak RM2.5 bilion yang perlu dibayar balik pada 2014. Hutang daripada bank milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu adalah untuk membeli saham syarikat penjana elektrik bebas (IPP), Tanjong Power Holdings Sdn Bhd pada 2012.

Bayar hutang

Pembelian Tanjong Power dan dua buah lagi syarikat IPP hujung usia iaitu Genting Sanyen Power Sdn Bhd dan Jimah Power, kononnya untuk melakukan IPO bagi mencari wang membayar balik hutang 1MDB yang semakin bertimbun. Boleh dikatakan hampir semua kilang penjana milik tiga buah syarikat yang dibeli Edra Global Energy itu sudah hujung usia dari segi keupayaan menjana dan tempoh konsesi dengan kerajaan. Edra adalah anak syarikat milik penuh 1MDB.

Logiknya, kilang-kilang itu akan ditutup dan hak milik ke atasnya berpindah kepada kerajaan mengikut syarat konsesi dengan bayaran beberapa ratus ringgit sahaja. Namun, dengan menggunakan Edra, 1MDB membeli kilang-kilang penjana itu pada harga kira-kira RM12 bilion, kononnya untuk melakukan IPO ke atas Edra. Apabila IPO gagal dilakukan, 1MDB tidak ada pili-han selain menjual aset Edra.

Apa yang memeranjatkan adalah cara kilang-kilang penjana itu dijual. 1MDB membelinya pada harga RM12 bilion tetapi menjualnya hanya RM9.83 bilion – rugi RM2.17 bilion. Lagi mengejutkan kerana aset itu dijual kepada syarikat milik China iaitu China General Nuclear Power Corporation (CGN).

Urus niaga luar biasa dan penuh kerahsiaan itu menyebabkan timbul dakwaan terdapat persetujuan belakang tabir antara 1MDB dan CGN bagi mendapatkan dana untuk bayar balik hutang kepada Maybank. Kesimpulannya, walaupun rakyat mungkin mendapat keadilan daripada perbicaraan kes-kes jenayah 1MDB tetapi mereka juga akan dibebani oleh kesan-kesan ekonomi, kewangan dan strategik akibat jenayah tersebut.

Najib telah didapati bersalah atas tujuh tuduhan berkai-tan SRC International dan dihukum penjara serentak 12 tahun serta denda RM210 juta. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan pada 3 September lalu bahawa hutang 1MDB yang belum dibayar adalah sebanyak RM41.36 bilion – cukup untuk subsidi haji kepada seramai 3.2 juta orang. Di kemuncaknya, hutang 1MDB melebihi RM50 bilion.

Daripada aspek strategik pula, China kini menjadi pemilik aset penjanaan elektrik bebas yang kedua terbesar di Malaysia selepas syarikat tempatan, Malakoff Berhad. Semua itu akan memberi kesan kepada rakyat dan membebankan mereka untuk berpuluh tahun akan datang. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!