Pengawal keselamatan maut, motosikal dilanggar dari belakang

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Kilometer 36 Jalan Klang - Banting - Port Dickson, Banting malam tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Kilometer 36 Jalan Klang - Banting - Port Dickson, Banting malam tadi.
A
A
A

BANTING - Seorang pengawal keselamatan hospital maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 36 Jalan Klang - Banting - Port Dickson, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali Muhammad Haikail Suhairi berusia 19 tahun maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Ego ditunggang mangsa dari arah Morib ke Banting telah dilanggar sebuah SUV jenis Toyota Harrier dari arah belakang.

"Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian tepi sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard.

"Akibat itu mangsa disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu Toyota Harrier terbabit yang dipercayai melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya kini sedang dikesan.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 0111-8539115 atau balai berhampiran.

Artikel Berkaitan: