Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah: Dua tong gas ditemui


Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan bomba memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa injap pada dua tong gas yang dijumpai susulan kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini tahun lalu, telah dicucuk bagi membolehkan ia mengeluarkan gas yang dihalakan ke pintu asrama yang didiami penghuni pusat itu.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Edwin Galan Teruki berkata susulan pengeluaran gas daripada tong itu, kebakaran dengan keamatan haba yang tinggi berlaku di hadapan pintu asrama itu sebelum merebak masuk ke dalam asrama.

“Kami dapati injap terbuka, kalau tertutup dia akan naik (bila ditekan). Kami juga telah memeriksa berat (tong gas) dan dapati ia ringan, tiada (lagi) gas yang keluar,” katanya ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada prosiding perbicaraan kes itu di sini yang turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

Kepada soalan Othman adakah saksi itu mengetahui bagaimana injap itu boleh terbuka dan rosak, saksi pendakwaan ke-27 itu berkata, “kemungkinan disebabkan dicucuk oleh sesuatu objek,”.

Saksi itu turut memberitahu bahawa pihaknya juga telah memeriksa wayar elektrik yang berada berhampiran kotak suis di asrama itu dan mengesahkan punca kebakaran bukan disebabkan aliran elektrik.

Pada prosiding sebelum ini, Penguasa Kanan Bomba, Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ashari Johari memberitahu mahkamah bahawa dua tong gas telah ditemukan di hadapan pintu masuk bilik asrama - satu berada dalam keadaan menegak dan satu lagi melintang.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika pemeriksaan balas peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh, Edwin berkata nyalaan api yang mencetus kebakaran di pusat tahfiz itu adalah daripada bahan bakar petrol.
Artikel Berkaitan:


“Nyalaan api itu adalah daripada petrol, tong gas merupakan alat sahaja, bila gas keluar (dari tong gas), api tidak akan menyambar pada tong sebab tong diarah pada pintu asrama, gas itu telah pergi ke pintu dengan tekanan yang ada, selepas lama ia kemudian mungkin telah menyambar tong gas.

Pada prosiding hari ini, dua tong gas yang masih dalam bentuk asalnya kecuali telah hilang warna, ekoran terbakar dibawa untuk tujuan pengecaman.

Kepada soalan Hakim Datuk Azman Abdullah apakah yang akan berlaku sekiranya injap pada tong gas itu tidak dibuka apabila berlaku kebakaran, saksi itu berkata tong gas berkenaan akan meletup disebabkan tekanan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama