Cubaan samun anak Maria Chin: Polis dapat petunjuk baru kesan suspek

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Polis memperoleh petunjuk baharu berhubung identiti suspek yang mencederakan anak lelaki Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Maklumat ini diperoleh hasil keterangan awal daripada mangsa yang diambil oleh pihak polis selepas mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashriman Ku Mahmood, berkata, bagaimanapun butiran suspek masih tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan usaha memburunya terjejas.

Menurutnya, temu bual dengan mangsa berusia 26 tahun telah berjaya membawa beberapa petunjuk positif.

"Ini membolehkan kita mengesan individu bertanggungjawab cuba menyamun mangsa.

"Selain dari maklumat mangsa juga, polis juga meminta orang ramai atau saksi yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian untu menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu Ku Mashriman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek adalah orang yang datang dari luar kawasan Petaling Jaya.

Tambahnya, siasatan bagaimanapun masih giat dijalankan dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan samun.

Artikel Berkaitan:

Semalam, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa yang sedang berjoging di Taman Mayang Emas, Petaling Jaya telah ditolak dari bahagian belakang oleh suspek yang cuba menyamunnya sebelum dicederakan di bahagian perut.

Suspek yang disyaki warga tempatan itu tidak sempat mengambil apa-apa barang berharga dari mangsa sebelum melarikan diri.