Bekas banduan terima balasan meliwat rakan sebilik

Mohd Abdillah Mat Nasin, 34, mengaku salah meliwat rakan sebiliknya semasa menjalani hukuman penjara di Dungun.
Mohd Abdillah Mat Nasin, 34, mengaku salah meliwat rakan sebiliknya semasa menjalani hukuman penjara di Dungun.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas banduan dijatuhi hukuman sembilan tahun penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana meliwat rakan sebiliknya semasa mereka sama-sama menjalani hukuman penjara di Dungun.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Mohd Abdillah Mat Nasin, 34, mengaku salah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ketika dipanggil membela diri pada akhir perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 25 tahun ketika kejadian di sebuah penjara di Dungun, pada jam 3 pagi, 31 Ogos 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Rofiah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Ismail Nik Lah.

Berdasarkan fakta kes, pegawai penjara yang bertugas di pusat berkenaan menerima aduan kira-kira jam 7.45 pagi pada 28 September 2017 memaklumkan mangsa dipaksa melakukan hubungan seks di luar tabii.

Hasil soal siasat, mangsa mengaku diliwat tertuduh. Ketika kejadian, mangsa ditahan di penjara berkenaan kerana kesalahan dadah manakala tertuduh pula dipenjara selama lima tahun kerana memiliki senjata berjadual.

Tertuduh yang dibebaskan pada 13 Mac 2018 ditahan semula untuk perbicaraan kes berkenaan.

Artikel Berkaitan: