CEO 1MDB tiada kuasa kawal kewangan syarikat

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri perbicaraan kes rasuah 1MDB terhadapnya.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri perbicaraan kes rasuah 1MDB terhadapnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak mempunyai kuasa terhadap kewangan syarikat.

Saksi ke-10 dalam perbicaraan kes rasuah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB itu berkata, beliau selaku CEO syarikat sepatutnya mempunyai kuasa penuh dalam mengawal keluar masuk dana dari dalam dan luar negara.

Namun katanya, beliau menerima arahan daripada ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low supaya tidak mengganggu dana luar negara tersebut.

“Dana yang ada di luar negara, dalam anggaran saya ialah sebanyak AS$3.8 bilion atau anggaran dalam RM13 bilion.

“Wang sebanyak ini sepatutnya sudah cukup untuk membayar hutang Maybank dan juga sebagai modal permulaan untuk apa-apa projek 1MDB,” katanya.

Meskipun mempunyai banyak persoalan tentang pengurusan dana-dana di luar negara Mohd Hazem berkata, beliau selaku CEO tidak mempunyai akses, kecuali Jho Low dan peguam 1MDB, Jasmine Loo.

Ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, saksi berusia 48 tahun itu berkata, beliau meletakkan jawatan pada 2014 kerana bimbang dengan lambakan hutang 1MDB.

ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB hutang AS$3 bilion untuk perjalanan pilihan raya, kata saksi

Artikel Berkaitan:

Walaupun tidak sampai dua tahun memegang jawatan berkenaan, tindakan meletakkan jawatan dibuat kerana beliau curiga dengan kapasiti syarikat untuk membayar balik hutang-hutang berkenaan.

“Antara hutang yang perlu dibayar ialah hutang pinjaman Maybank bagi pembelian saham Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd pada 2012.

“Saya risau kerana saya mungkin berdepan kesukaran untuk meminta dana bagi membayar hutang Maybank dan tidak dibenarkan oleh Jho Low,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam mewakili Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan bersambung 5 Oktober depan.