Tiga 'superman' dicekup sedang beraksi

Antara yang ditahan dan kenderaan yang disita.
Antara yang ditahan dan kenderaan yang disita.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tiga lelaki ditahan polis selepas menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi 'superman' di Kilometer 187 Lebuhraya Linkedua di sini, semalam.

Ketiga-tiga lelaki berusia 19 hingga 23 tahun yang menunggang Yamaha 135LC (X1R) disyaki telah diubah suai itu ditahan ketika sedang berlumba secara haram.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mereka ditahan menerusi operasi cegah lumba haram dan op lejang selepas memperoleh maklumat dan risikan dilakukan.

“Tiga lelaki itu motosikal jenis Yamaha 135LC (X1R) masing-masing yang telah diubahsuai telah menunggang secara melulu dan merbahaya iaitu membuat aksi ‘superman’ dan berlumba di kawasan Kilometer 18J Lebuhraya Linkedua selepas susur ke Nusa Idaman telah ditahan.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi menumpukan pencegahan lumba haram dan kes-kes kecurian kenderaan tersebut terdiri daripada tiga pegawai dan 26 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah dan Tugas Am Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri yang tertumpu di kawasan Puteri Harbour dan Lebuhraya Linkedua.

“Hasil pemeriksaan terhadap 57 buah kenderaan dan 73 individu, polis menyita 14 buah motosikal atas kesalahan membabitkan lesen dan ubah suai kenderaan.

“Sebanyak 26 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi ini dan semua kenderaan yang disita dibawa ke Balai Polis Trafik Iskandar Puteri,” katanya.

Artikel Berkaitan: