KPDNHEP kesan tiga kes jual pelitup muka tiruan

No Image Caption
A
A
A

SEKINCHAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan terdapat kira-kira tiga kes penjualan pelitup muka tiruan sekitar Lembah Klang yang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, terdapat maklumat diperolehnya bahawa pelitup muka tiruan itu dijual di pasar malam dan tepi jalan pada harga 50 sen sekeping.

"Pemakaian pelitup muka berkait dengan pernafasan, jika kita guna pelitup muka tiruan tentunya ia membahayakan kesihatan, walaupun kita cuba mengelak terkena koronavirus (Covid-19), tetapi (kita bimbang) terkena penyakit lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Khind - Mistral Industries Sdn Bhd, Sekinchan di sini semalam.

Rosol berkata, pihaknya sedang merancang menguatkuasakan peraturan baharu bagi menangani isu penjualan pelitup muka tiruan.

"Maknanya kita mungkin buat satu peraturan cuma barangan (pelitup muka) bermutu sahaja dijual di pasaran. Kita sudah ambil tindakan betul iaitu pelitup muka tiga lapisan yang diiktiraf sahaja dijual di pasaran.

"Selain itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Kimia untuk mengenal pasti bahan yang digunakan dalam pembuatan pelitup muka terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan: