X

Kindly register in order to view this article
!

Cemas bawa dadah, tokan rempuh 4 kenderaan

Suspek wanita yang ditahan selepas kereta Honda Jazz dipandu rakan lelakinya gagal meloloskan diri dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kemaman. - Foto ihsan IPD Kemaman
A
A

KEMAMAN - Seorang lelaki memandu secara merbahaya dan merempuh beberapa kenderaan lain ketika memecut kereta yang membawa dadah bernilai RM20,000, dalam cubaan meloloskan diri daripada polis di Bandar Baru Kerteh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek, 32, memandu kereta jenis Honda Jazz yang turut dinaiki teman wanitanya, 25, memecut kenderaannya sejauh lapan kilometer dalam kawasan Bandar Baru Kerteh di sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, sebelum itu pihaknya ada menerima maklumat berhubung aktiviti penjualan dadah di sekitar kawasan Kerteh di sini.

Katanya, susulan maklumat itu, pihaknya melakukan rondaan di kawasan terbabit sebelum terserempak dengan sebuah kereta dinaiki pasangan itu yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan, di kawasan Kampung Batu Putih di sini.

Superintendan Hanyan Ramlan
Superintendan Hanyan Ramlan

"Bagaimanapun, sejurus menyedari kehadiran polis, suspek terus memecut kenderaannya dengan memandu dalam keadaan berbahaya tanpa menghiraukan arahan anggota yang beberapa kali meminta agar berhenti.

"Suspek nekad merempuh empat buah kereta yang ada berhampiran dalam usaha meloloskan diri, namun akhirnya mereka berjaya ditahan selepas dikejar hampir 25 minit, berhampiran sebuah restoran makanan segera di Kerteh di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya percaya kedua-dua suspek ke kawasan berkenaan untuk menjual dadah kepada penagih di sekitar lokasi tersebut dan hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai beberapa rekod lampau berhubung kesalahan dadah.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!