'Peguam syarie jangan fikir untung semata'

Mohammed Khusrin (duduk, lima, kiri) bergambar bersama barisan peguam syarie yang mendapat tauliah.
Mohammed Khusrin (duduk, lima, kiri) bergambar bersama barisan peguam syarie yang mendapat tauliah.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) setakat ini belum bercadang menetapkan had minima bagi yuran guaman syarie namun mengingatkan para peguam syarie agar tidak berpaksikan kepada keuntungan semata-mata sebaliknya turut menekankan aspek ibadah, kemanusiaan dan kebajikan.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya tidak melihat ada keperluan untuk menetapkan garis panduan berhubung had minima atau maksima yuran guaman di kalangan kes guaman syarie.

"Kita tak ada satu garis panduan tentang penetapan kadar guaman, sekarang ini tak ada, bagi mahkamah sivil pun tak ada. Ia bergantung kepada kes, bergantung kepada peguam itu sendiri, setakat ini pihak MAIS tak ada kawal perkara ini.

"Cuma kita boleh minta kerjasama para peguam supaya kenakan bayaran mengikut keadaan, kalau ada yang betul-betul tidak mampu mungkin boleh dikurangkan dan sebagainya, tapi kalau ada yang kenakan harga tinggi itu kita tak boleh kawal atau tahan.

"Setakat ini belum ada cadangan untuk mengadakan satu garis panduan kerana sebenarnya kita tak mahu mengawal kerana ia bergantung kepada harga pasaran untuk mendapatkan khidmat guaman mereka. Cuma bila ada keperluan di masa depan untuk perkara ini baru kita akan bincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media setelah hadir merasmikan Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Selangor yang juga Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Hussain.

Dalam majlis sama, seramai 62 peguam syarie menerima sijil pentauliahan sebagai peguam syarie di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Suka saya ingatkan kepada semua peguam syarie yang baru ini agar dapat menjalankan fungsi dengan baik sebagai sahabat mahkamah, membantu mahkamah menegakkan keadilan dengan memberi nasihat kepada anak guam perkara-perkara yang hak dan menolak kebatilan," katanya.