'Tutup satu tol, turunkan harga minyak, Semenyih kita menang'

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan PH perlu melunaskan beberapa janji mereka, jika mahu memenangi PRK Dun Semenyih pada Mac depan.

Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim berkata, ada beberapa janji yang boleh dipertimbangkan oleh PH untuk dilunaskan dalam strategi mempertahankan kerusi berkenaan daripada jatuh ke tangan BN.

"Mungkir janji orang tak suka, orang tak pilih kita. Pimpinan atasan PH tentu lebih daripada faham kenapa kalah di Cameron Highlands.

"Untuk itu tutup satu tol kurangkan harga minyak. Tunai janji Felda pra-Mei 2018. Buat stok penimbal beras, tepong, minyak masak, susu anak. Semenyih menang," katanya di Twitter.

Rais berkata merujuk mengenai kekalahan PH di Cameron Highlands pada Sabtu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP

BN pada Sabtu lalu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi dalam Pilihan PRK berkenaan.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi calon BN, Datuk C. Sivarraajh dalam PRU14 pada Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Calon BN, Ramli Mohd. Nor mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) , M Manogaran yang mendapat 8,800 undi

Dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib 314 undi manakala dan Wong Seng Yee 276 undi.

Sementara itu, pada 18 Januari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Dun Semenyih diadakan pada 2 Mac depan dan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

PRK Dun Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya PH, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada Umno yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu

ARTIKEL BERKAITAN:PRK Semenyih: 16 Februari, hari penamaan calon, 2 Mac, hari mengundi