Warisan Plus di depan, GRS mengejar

Bendera Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) kelihatan berkibar memeriahkan lagi kehangatan berkempen ketika tinjauan PRN Sabah di sekitar Pekan Sipitang. -Foto Bernama
Bendera Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) kelihatan berkibar memeriahkan lagi kehangatan berkempen ketika tinjauan PRN Sabah di sekitar Pekan Sipitang. -Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS melalui beberapa konflik politik, kira-kira 1.12 juta rakyat Sabah akan sekali lagi membuat penentuan parti mana yang dipilih sebagai kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, seramai 447 calon daripada 15 parti termasuk Bebas disahkan bertanding sekali gus mengisytiharkan gelanggang pertandingan dibuka secara rasmi.

Tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan gabungan baharu yang bakal dibentuk iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melawan Warisan Plus.

GRS disertai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), manakala Warisan Plus meliputi Parti Warisan Sabah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Pemerhati politik berpandangan, kedua-dua gabungan terbesar itu mempunyai peluang yang sama rata untuk memenangi PRN Sabah berdasarkan kredibiliti calon mereka.

Bagaimanapun, peluang GRS yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tersasar sekiranya konflik dalaman antara parti komponen tidak ditangani segera.

Penganalisis politik daripada Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, perkara itu ketara apabila terdapat parti dalam gabungan tersebut meletakkan calon mereka meskipun GRS telah memutuskan calon yang lain.

“Saya tengok kedua-dua (GRS dan Warisan Plus) ada peluang berdasarkan kepada pemerhatian setakat ini.

Artikel Berkaitan:

“Cuma bagi saya, peluang untuk GRS menang bergantung kepada bagaimana mereka berupaya mengurangkan konflik sesama parti.

“Keupayaan GRS untuk menang adalah bergantung kepada sejauh mana mereka boleh menyatupadukan jentera pilihan raya bagi memastikan bahawa tidak ada usaha konflik, tidak ada usaha sabotaj antara parti.

“Warisan Plus juga ada kemelut, sebagai contoh membabitkan PKR. Namun konflik yang berlaku tidak begitu ketara seperti mana yang berlaku dalam GRS,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Katanya, konflik dalaman membabitkan UMNO juga perlu dilihat serius supaya tidak wujud unsur sabotaj yang merugikan semua pihak.

“Kalau kita lihat, terdapat beberapa calon yang dipilih UMNO bukan kehendak akar umbi dan ini pastinya akan mendatangkan kemarahan pengundi apabila calon yang dikehendaki mereka tidak terpilih.

Seorang petugas Barisan Nasional kelihatan menaikkan bendera bagi memeriahkan lagi kehangatan berkempen ketika tinjauan PRN di sekitar Jalan Tanjung Aru. - Foto Bernama
Seorang petugas Barisan Nasional kelihatan menaikkan bendera bagi memeriahkan lagi kehangatan berkempen ketika tinjauan PRN di sekitar Jalan Tanjung Aru. - Foto Bernama

Kelebihan

Pandangan sama turut dikongsi Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis.

Menurut Mujibu, secara asasnya kedua-dua parti terbesar itu mempunyai peluang yang seimbang dalam aspek calon.

Beliau bagaimanapun berkata, di atas kertas, Warisan Plus ada kelebihan apabila dilihat tidak mempunyai masalah dari sudut komitmen untuk kompromi meletakkan calon berbanding GRS khususnya UMNO.

Selain itu, katanya, tindakan Muhyiddin memberi bayangan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah sekiranya GRS memenangi PRN kali ini menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan pemimpin BN.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Shafie Apdal ajak pengundi tolak politik wang

PRN Sabah: Kempen hangat di kubu kuat

“Masalah terbesar PN adalah apabila Muhyiddin secara unilateral mengumumkan calon Ketua Menteri ialah Hajiji.

“Barangkali ia tidak menimbulkan masalah sangat kalau diumumkan lebih awal supaya semua komponen parti lebih bersedia khususnya dalam memberi kefahaman kepada penyokong bawahan mereka.

“Di pihak Warisan Plus tiada masalah (untuk tentukan Ketua Menteri) dan kalau kita kira, ini sebagai ukuran, Warisan Plus sudah menang 1-0 (dengan GRS),” katanya.

Mujibu berkata, pertandingan yang menyaksikan penjuru yang begitu banyak juga akan menyebabkan berlaku pecahan undi ketara.

“Politik Sabah ini begitu dinamik dan tidak sama seperti di Semenanjung Malaysia. Malah, rekod sebelum ini menunjukkan ada calon Bebas yang menang dalam saingan kerusi yang ditandingi mereka.

“Apa yang menjadi kebimbangan ialah mungkin sukar untuk parti yang menang mendapatkan majoriti besar kerana berlaku pecahan undi ketara,” katanya.

Masih awal

Beberapa pemimpin parti politik di negeri Sabah melihat masih terlalu awal untuk membuat andaian sama ada GRS atau Warisan Plus mampu membentuk kerajaan selepas 26 September akan datang.

Ini terbukti apabila aktiviti kempen sebahagian calon yang bertanding berjumlah 447 calon mewakili pelbagai parti di 73 DUN dalam PRN Sabah kali ini masih belum panas memasuki hari kedua semalam.

Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, masih terlalu awal untuk melihat gabungan mana yang mampu membentuk kerajaan selepas PRN nanti.

“Untuk melihat gambaran awal perkara ini memang sukar untuk diperkatakan, namun ia akan dapat dilihat selepas seminggu barulah kita dapat membuat analisis mengenai siapa yang mampu membentuk kerajaan di Sabah,” katanya.

Masidi yang juga calon DUN Karanaan berkata, setiap calon parti mahupun jentera parti perlu berada di lapangan untuk mengetahui suara rakyat.

Kemeriahan bendera parti-parti politik yang digantung di tepi-tepi jalan dapat dilihat ketika tinjauan sempena PRN di sekitar Jalan Tanjung Aru. -Foto Bernama
Kemeriahan bendera parti-parti politik yang digantung di tepi-tepi jalan dapat dilihat ketika tinjauan sempena PRN di sekitar Jalan Tanjung Aru. -Foto Bernama

Berbeza dengan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi, beliau yakin GRS mampu mencapai kemenangan pada PRN kali ini.

Katanya, di pihak UMNO Sabah, keyakinan timbul selepas parti itu menampilkan muka baharu merebut kerusi yang ditandingi.

“Perubahan itu jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap calon yang ditampilkan mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk membawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat di DUN nanti. Begitu juga calon-calon lain yang ditampilkan GRS,” katanya.

Bagi, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, beliau yakin rakyat akan mengembalikan mandat kepada Warisan Plus.

“Di bawah kepimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah mudah dan jelas. Kita cuma ada satu pemimpin sebagai Ketua Menteri.

“Hanya beliau (Mohd Shafie) saja akan jadi Ketua Menteri, bukan seperti yang lain-lain, ada banyak pilihan. Ramai Ketua Menteri.

“Terpulang kepada rakyat. Kami begitu jelas bertanding sebagai satu kumpulan (Warisan, PKR, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di bawah satu pemimpin dan mengikut apa yang menjadi keutamaan kami,” katanya.

Seorang lelaki kelihatan mengayuh basikal dan melalui deretan bendera-bendera parti politik bagi memeriahkan lagi kehangatan berkempen ketika tinjauan PRN di sekitar Jalan Tanjung Aru. -Foto Bernama
Seorang lelaki kelihatan mengayuh basikal dan melalui deretan bendera-bendera parti politik bagi memeriahkan lagi kehangatan berkempen ketika tinjauan PRN di sekitar Jalan Tanjung Aru. -Foto Bernama

Christina yang juga calon DUN Api-Api berkata, mesej Warisan Plus jelas untuk disampaikan kepada rakyat.

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong pula berpendapat, pengumuman Muhyiddin baru-baru ini berhubung GRS tidak memberi kesan kepada Warisan Plus.

“Bagi Warisan, ia tidak memberi kesan pun. Kerana tiada beza gabungan itu dengan BN. Dulu pun BN, sekarang GRS gabung semua komponen dalam BN.

“Hanya tukar huruf B (Barisan) kepada P (Perikatan) dulu BN, sekarang PN. Warna pun sama, jadi tiada kesan pun,” katanya.

Mengulas lanjut sama adakah Warisan Plus boleh memenangi hati rakyat semula, Junz yang juga calon DUN Tanjung Aru yakin bahawa rakyat percaya dengan kepimpinan kerajaan negeri di Warisan sebelum ini.