Kadar kesalahan lebuh raya turun hampir 100 peratus

Shaharuddin meninjau kaedah pemeriksaan muatan kenderaan berat yang dilakukan JPJ sempena perasmian Pusat Kawalan Lebuhraya di bangunan Plaza Tol Lama Jelapang hari ini.
Shaharuddin meninjau kaedah pemeriksaan muatan kenderaan berat yang dilakukan JPJ sempena perasmian Pusat Kawalan Lebuhraya di bangunan Plaza Tol Lama Jelapang hari ini.
A
A
A

IPOH - Kadar kesalahan di lebuh raya turun sehingga 97 peratus tahun ini, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak koronavirus (Covid-19) yang dikuatkuasakan sejak Mac lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, statistik sehingga Ogos itu hanya merekodkan 1,096 kesalahan utama berbanding 2,164 dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, lima kesalahan utama adalah membabitkan lebih muatan iaitu 364 kes, memandu di lorong kecemasan (339), muatan berbahaya (263), menggunakan telefon bimbit (99) dan tidak memakai tali pinggang keselamatan (31).

"Terdapat dua faktor yang memberi implikasi penurunan tindakan terhadap pengguna lebuh raya ini yang pertamanya adalah disebabkan kekurangan kenderaan di jalan raya disebabkan Covid-19.

"Keduanya adalah keberkesanan tindakan kita dalam mencegah, peranan Unit Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) dengan kerap membuat rondaan telah menyebabkan pengguna lebih peka tentang keselamatan mereka dan saya kira itu jauh lebih baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shaharuddin diiringi Mohd Shuhaimi dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi (kanan) melihat paparan skrin yang terdapat di bilik kawalan Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya.
Shaharuddin diiringi Mohd Shuhaimi dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi (kanan) melihat paparan skrin yang terdapat di bilik kawalan Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (Unit Penguatkuasa Lebuhraya) di bangunan Plaza Tol Lama Jelapang yang turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.

Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya JPJ itu adalah yang pertama di Malaysia dan mula beroperasi pada 1 Julai lalu untuk mengawal selia segala aktiviti UPLR yang melibatkan empat zon penguatkuasaan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) iaitu zon timur di Paka, Dengkil (zon tengah), Gunung Semanggol (zon utara) dan Pagoh (zon selatan).

Artikel Berkaitan:

Shaharuddin berkata, UPLR yang diwujudkan secara berperingkat sejak 2018 lalu telah terbukti mampu meningkatkan persepsi ditangkap melakukan kesalahan (POBC) dalam kalangan pengguna lebuh raya dengan memfokuskan penguatkuasaan kepada mereka yang melanggar peraturan, pemantauan dan tindakan terhadap kenderaan barangan termasuk isu teknikal, membawa lebih muatan serta meletakkan kenderaan di lorong kecemasan.

Selain itu katanya, UPLR juga mengambil peranan memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin antaranya pengalihan objek di atas lebuh raya serta bantuan awal sekiranya terdapat halangan, kecemasan atau kesesakan di mana-mana laluan.

"Dengan adanya pusat kawalan ini kita telah melahirkan satu unit khas untuk bertindak atas lebuh raya.

"JPJ melihat inisiatif ini suatu platform pencegahan serta penguatkuasaan yang berkesan lebih-lebih lagi apabila hubungan strategik ini diwujudkan dengan pihak PLUS," katanya.