Hala tuju Pas selepas muktamar kali ke-66

Perwakilan dan para tetamu Muktamar Tahunan Pas ke-66 hadir di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal di Dewan Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa. -Foto Bernama
Perwakilan dan para tetamu Muktamar Tahunan Pas ke-66 hadir di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal di Dewan Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa. -Foto Bernama
A
A
A

MUKTAMAR Tahunan Pas ke-66 yang bermula kelmarin melakar sejarah buat parti Islam itu apabila diadakan genap setahun usia Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September tahun lalu.

Perhimpunan tahunan itu juga menyaksikan Pas kembali dalam pentadbiran kerajaan selepas kali terakhir berada dalam kerajaan Persekutuan pada tahun 1977.

Selari dengan norma baharu kerana pandemik Covid-19 masih menular, muktamar kali ini juga disiarkan menerusi laman sosial memandangkan hanya 400 perwakilan sahaja dibenarkan hadir pada muktamar berkenaan.

Sudah tentu muktamar kali ini menjadi tumpuan dan menjadi medan penting buat parti yang sudah berusia 69 tahun itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pas sudah tentu mempertahankan tiga negeri yang dimiliki iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selain hala tuju kerjasama parti itu bersama Barisan Nasional (BN) dalam MN dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu kekuatan yang ada pada parti itu hari ini dirosakkan dengan perpecahan seperti mana berlaku pada tahun 2015 apabila pemimpin yang kalah pemilihan bertindak keluar Pas dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhumban daripada puncak kekuasaan pada Februari lalu disebabkan tangan yang bercakaran sesama sendiri juga perlu dijadikan iktibar oleh pemimpin dan ahli akar umbi parti itu menjelang PRU15.

Justeru, Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya mengingatkan ahlinya supaya tidak membuat tindakan yang boleh mewujudkan perpecahan sehingga merugikan parti dalam menghadapi PRU15 seperti mana yang berlaku dalam PH.

Artikel Berkaitan:

Memberikan contoh perumpamaan, seperti lesung dan alu berlaga ayam pula yang kenyang, Abdul Hadi berkata, parti itu wajib menghadapi PRU15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini.

Muktamar kali ini memilih tema ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’, Abdul Hadi meletakkan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam usaha menzahirkan tema terbabit dalam perjuangan kerajaan kini.