X

Kindly register in order to view this article
!

Peminat sokong jadikan gasing pangkah harta intelek negara

Aksi pada program Terengganu Gasing Championship 2020 di gelanggang gasing JKKN Terengganu, Kuala Terengganu semalam.
A
A

KUALA TERENGGANU - Peminat gasing menyambut baik usaha kerajaan melalui Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) untuk menjadikan gasing pangkah sebagai harta intelek atau hak eksklusif yang dimiliki negara ini.

Artis Budaya JKKN Terengganu, Rosmadi Abdul Rahim berkata, ia sebagai jaminan permainan gasing akan terus kekal di negara ini pada masa akan datang.

Pada masa sama, katanya, ia sebagai usaha menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami permainan tradisional itu.

"Kita menyokong usaha menjadikan gasing pangkah ini sebagai hak milik negara kerana setiap negeri mempunyai gasing tradisional tersendiri, namun gasing pangkah ini satu-satunya gasing yang boleh digunakan untuk dipertandingkan dalam setiap kejohanan," katanya.

Beliau ditemui pada Program Terengganu Gasing Championship 2020 yang turut dihadiri Pengarah JKKN Terengganu, Eezmadyna Azalin Nordin di Gelanggang Gasing JKKN Terengganu di sini semalam.

Rosmadi yang juga Jurulatih Seni Budaya Negara (Gasing) berkata, langkah itu perlu memandangkan kaedah pembuatan gasing pangkah semakin meluas dan boleh dihasilkan menggunakan bahan plastik atau polimer.

Rosmadi
Rosmadi

“Selain gasing yang diperbuat daripada kayu, inovasi pembuatan gasing kini dilihat semakin berkembang apabila turut menggunakan plastik atau polimer dalam pembuatannya setelah gasing kayu semakin sukar untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Gasing polimer merupakan inovasi baharu dalam pembuatan gasing di mana proses yang digunakan lebih terkini. Dalam masa sama memberi galakan kepada generasi muda untuk bermain gasing kerana ia lebih mudah diperoleh,” katanya.

Sementara itu, program kejuaraan yang mendapat suntikan dana daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu mendapat penyertaan daripada tujuh pasukan mewakili negeri masing-masing.

Pasukan terbabit ialah Terengganu A, Terengganu B, Persatuan Gasing Kuala Lumpur A, Persatuan Gasing Kuala Lumpur B, Persatuan Gasing Negeri Sembilan, Persatuan Gasing Putrajaya dan Persatuan Gasing Melaka.

Pasukan Kuala Lumpur muncul juara pada kejohanan itu mengatasi pasukan dari Putrajaya yang sekadar berpuas hati di tempat kedua, manakala pasukan dari Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing mendapat tempat ketiga dan keempat.

Aksi pada program Terengganu Gasing Championship 2020 di gelanggang gasing JKKN Terengganu, Kuala Terengganu semalam.
Aksi pada program Terengganu Gasing Championship 2020 di gelanggang gasing JKKN Terengganu, Kuala Terengganu semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!