Masidi tampil dengan slogan ‘Kita Orang Ranau’

 Masidi meluangkan masa berswafoto bersama rakyat yang hadir pada majlis perjumpaan bersama penyokong PN di pentas terbuka Pekan Ranau selepas proses penamaan calon semalam.
Masidi meluangkan masa berswafoto bersama rakyat yang hadir pada majlis perjumpaan bersama penyokong PN di pentas terbuka Pekan Ranau selepas proses penamaan calon semalam.
A
A
A

RANAU - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun menampilkan slogan ‘Kita Orang Ranau’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini bagi memastikan nilai persahabatan kekal kukuh meskipun berlainan fahaman politik.

Beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan akan berdepan tiga calon lain yang mewakili Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Mohd Tajuddin Sadi, calon Parti Cinta Sabah (PCS) Hadzrul Masnin dan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Awasi Ganie@Yasin Abdul Ghani.

Menurutnya, slogan itu timbul selepas ramai rakyat di daerah ini yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik menyatakan sokongan terhadap beliau meskipun tidak lagi menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Saya rasa bersyukur, buat pertama kalinya sejak saya bertanding dalam pilihan raya 2004, sahabat-sahabat yang saya fikir selama ini akan menjauhkan diri daripada saya kembali menghubungi saya menyatakan sokongan.

“Maklumlah saya bukan lagi menteri dan tidak memegang jawatan dalam kerajaan tapi saya bersyukur kepada ALLAH, persahabatan itu kekal mantap dalam kalangan sahabat-sahabat di Ranau dan sebab itu jugalah slogan kita gunakan di Karanaan ialah ‘Kita Orang Ranau’,” katanya.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Bersama Penyokong PN di sini semalam.

Katanya, meskipun berbeza fahaman politik, namun semangat persahabatan tetap kukuh walau di mana berada meskipun tinggal di luar negara.

“Sememangnya kita ada perbezaan fahaman politik namun semangat ‘Kita Orang Ranau’ akan saya bawakan kepada saudara-saudari sekalian pada kali ini dan mungkin ini kali terakhir saya bertanding sebagai calon tetapi saya mahu rakyat memperingati apa pun perbezaan, kita kekal orang Ranau.

“Pada ketika ini kita bukan lagi bercakap pasal politik, tetapi kita berjaya merealisasikan impian orang Ranau menjadikan daerah ini sebagai sebuah daerah yang maju khususnya dalam sektor pelancongan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Masidi berkata, rakyat terutama di daerah ini tidak lagi menyatakan soal yang kurang memberi kebaikan namun daerah ini sudah mencapai ke fasa pembangunan untuk rakyat.

“Sudah pasti kita mahu lihat ke mana kita mahu pergi selepas kita mengeluarkan graduan; bijak pandai yang ramai tetapi kita perlu tanya, apa yang kita perlu buat untuk membangunkan daerah Ranau.

“Inilah sebab kita rakyat daerah ini harus bekerjasama antara satu dengan yang lain kerana kita mahu lahirkan lebih ramai masyarakat kita berjaya dalam perniagaan, berjaya sebagai petani moden dan berjaya dalam apa juga bidang diceburi,” katanya.