Shafie Apdal, Hajiji dicabar ahli keluarga sendiri

Shafie (kiri) dan Norazman.
Shafie (kiri) dan Norazman.
A
A
A

TUARAN - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September ini menyaksikan dua calon yang mempertahan kerusi mereka bakal berentap dengan anak saudara lelaki masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), dicabar oleh anak saudaranya Norazman Utoh Nain daripada Perikatan Nasional (PN) di Senallang.

Mohd Shafie turut dicabar oleh Datu Pg Ahmad Datu Ali Alam daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah; Mohammad Ramzan Abdul Wahab daripada USNO dan Madjalis Lais daripada Parti Cinta Sabah.

Itu bukan kali pertama Mohd Shafie ‘berentap dengan ahli keluarga sendiri’ kerana beliau pernah berdepan pertarungan satu lawan satu dengan sepupunya Datuk Seri Nasir Tun Sakaran (BN) di kawasan sama semasa Pilihan Raya Umum lepas.

Dalam satu lagi ‘pertembungan membabitkan ahli keluarga,’ penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Sulaman selama enam penggal iaitu Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut dicabar oleh anak saudaranya Datuk Aliasgar @ Ali Ashgar Basri daripada Warisan.

Aliasgar bertembung dengan Hajiji (kanan) yang juga bapa saudaranya.
Aliasgar bertembung dengan Hajiji (kanan) yang juga bapa saudaranya.

“Beliau pak cik saya tetapi fahaman politik kami berbeza dan perjuangan harus diteruskan,” kata Aliasgar ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Sulaman di sini semalam.

Seorang lagi calon yang bertanding di kawasan itu ialah Datuk Rekan Hussien daripada Parti Cinta Sabah. - Bernama

Artikel Berkaitan: