Penunggang RXZ maut nahas babit tiga kenderaan

Keadaan Toyota Fortuner remuk selepas terlibat kemalangan.
Keadaan Toyota Fortuner remuk selepas terlibat kemalangan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pekerja ladang maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan dua buah kenderaan di Kilometer 32.9 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 1 tengah hari itu, mangsa, Mohd Amrizan Abdullah, 41, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima di hadapan sebuah restoran.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, mangsa yang bekerja di Ladang Siang, Bandar Penawar dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Kluang.

"Semasa kejadian mangsa sedang berada di laluan menghala Kota Tinggi dan sebuah Toyota Fortuner tiba-tiba membelok masuk ke kawasan parkir di restoran tersebut.

"Semasa membelok, Toyota Fortuner berkenaan melanggar bahagian kiri motosikal mangsa sebelum terseret. Motosikal mangsa kemudian melanggar Toyota Estima yang berada dalam kawasan parkir berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran tersebut mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

"Mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan sementara pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian sebenar," katanya.

Artikel Berkaitan: