Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura bergantung situasi PKPP

Dr Adham (dua dari kiri) menyaksikan penyampaian penghargaan kepada salah seorang petugas barisan hadapan oleh Hasni (dua dari kanan) di Legoland Malaysia, Iskandar Puteri hari ini.
Dr Adham (dua dari kiri) menyaksikan penyampaian penghargaan kepada salah seorang petugas barisan hadapan oleh Hasni (dua dari kanan) di Legoland Malaysia, Iskandar Puteri hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pembukaan sempadan sepenuhnya antara Malaysia-Singapura bergantung kepada situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari September hingga Disember tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM akan meneliti perkembangan penularan kes wabak koronavirus (Covid- 19) sepanjang PKPP sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pembukaan sempadan sebagaimana yang diminta kerajaan negeri Johor bagi meningkatkan sektor ekonomi mereka.

"Setakat ini kemudahan Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) untuk rentas sempadan Malaysia-Singapura berjalan dengan baik walaupun terdapat satu kes yang dilaporkan membabitkan PCA.

"Atas perkara yang dibangkitkan Menteri Besar Johor untuk bantu sektor ekonomi, KKM akan dapatkan input dan senario berkaitan jangkitan Covid-19 di Malaysia dan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mural Lego bagi petugas barisan hadapan Covid-19 di Legoland Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Semalam, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Hasni menyatakan kerajaan negeri Johor sudah menyerahkan kertas kerja dan prosedur operasi standard (SOP) kepada Kementerian Luar Negeri dalam usaha mempercepatkan pembukaan sepenuhnya sempadan Malaysia-Singapura.

Beliau berharap usaha tersebut akan dipertimbangkan dan ditambah baik kerajaan Persekutuan sekali gus mendapat persetujuan kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 8,270 individu telah menggunakan kemudahan Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) dan seramai 327 individu telah menggunakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) untuk rentas sempadan Malaysia-Singapura sehingga 31 Ogos lalu.