PRN Sabah: BN, PN, PBS setuju elak pertembungan calon

Muhyiddin Yassin bersama Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee (kiri) dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan (dua dari kiri) pada Perjumpaan Bersama Pimpinan Parti Sabah hari ini. Foto: Bernama
Muhyiddin Yassin bersama Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee (kiri) dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan (dua dari kiri) pada Perjumpaan Bersama Pimpinan Parti Sabah hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini bersetuju secara konsensus untuk mengelak pertembungan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata semua parti terlibat juga telah bersetuju membentuk solidariti bagi menghadapi PRN Sabah secara bersama.

"Pengumuman (calon) diadakan semalam nampak pertembungan sesama sendiri dan ini akan diselesaikan sesegera yang mungkin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis perjumpaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lebih 20 pemimpin daripada BN, PN dan PBS di sebuah hotel di sini.

Semalam, media melaporkan PN mengumumkan bertanding di 29 kerusi pada PRN Sabah dan berkemungkinan besar bertembung dengan BN di tiga kawasan iaitu Paginatan, Tulid dan Sook.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, semua parti itu juga setuju untuk melancarkan 'Aku Janji' secara bersama pada Hari Malaysia, 16 Sept ini bagi memberitahu tawaran buat rakyat Sabah sekiranya gabungan itu menang PRN Sabah.

"Aku Janji itu tawaran baharu untuk Sabah terutama pengundi-pengundi dan persetujuan bersama parti-parti ini akan dimuktamadkan," katanya.

Selain itu katanya, semua parti yang terlibat akan mengkoordinasi gerak kerja antara parti secara bersama supaya tugas dalam PRN Sabah dapat dijalankan dengan sempurna.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata antara inti pati perjumpaan itu adalah mengenai mewujudkan satu jawatankuasa penyelaras dalam menghadapi PRN Sabah.

Katanya, perkara itu disambut baik oleh semua yang hadir dalam usaha memantapkan lagi kerjasama antara semua parti dengan satu agenda iaitu memenangi pilihan raya itu.

“Amanat (Muhyiddin) memberikan kita semangat untuk kerjasama dan pastikan kita menang,” katanya. - Bernama