Prospek acara perdagangan, perniagaan masih positif

Nancy ketika memberi ucapan pada majlis perasmian Pameran dan Persidangan Dunia, Hospitaliti, Gaya Hidup dan Hiburan, Whole Penang 2020 di Pusat Kovensyen Spice, Bayan Lepas hari ini. - Foto Bernama
Nancy ketika memberi ucapan pada majlis perasmian Pameran dan Persidangan Dunia, Hospitaliti, Gaya Hidup dan Hiburan, Whole Penang 2020 di Pusat Kovensyen Spice, Bayan Lepas hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, prospek industri acara perdagangan dan perniagaan di Malaysia kekal positif.

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan kepada laporan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), 70 acara telah ditangguhkan dengan hanya 20 yang lain dibatalkan.

"Sejak Januari hingga Ogos tahun ini, MyCEB dengan kerjasama persatuan tempatan berjaya membida dan memperoleh 20 persidangan antarabangsa bagi penganjuran dari 2020 hingga 2024 dengan anggaran delegasi seramai 14,000 orang.

"Ini menampilkan kesan ekonomi sebanyak RM173 juta kepada negara," katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Hospitaliti, Gaya Hidup dan Hiburan Sedunia (WHOLE) 2020 di sini hari ini.

Sejak 2010 hingga 2019, MyCEB menyokong sejumlah 3,863 acara perniagaan, menjana RM26.9 bilion dalam anggaran kesan ekonomi, dengan kedatangan hampir 2.1 juta perwakilan perniagaan ke negara ini.

Bagaimanapun, menurutnya, industri acara perdagangan dan perniagaan amat bergantung kepada ketibaan antarabangsa.

"Kerajaan perlu berhati-hati untuk membuka sempadan antarabangsa demi kepentingan negara bagi membendung penyebaran Covid-19.

"Kami juga sedang bekerja keras untuk membantu pemain industri tempatan melantun kembali apabila tiba masanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tumpuan utama MOTAC adalah untuk memulihkan dan membentuk semula pelancongan domestik bagi meningkatkan ekonomi tempatan, dengan memulakan agenda transformasi melalui pendigitalan.

"Ini sejajar dengan Visi Perkongsian Kesejahteraan dan Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 untuk mendorong inovasi dan daya saing ke arah pembangunan yang mampan dan inklusif," katanya.

Sementara itu, Nancy melahirkan keyakinan bahawa industri pelancongan domestik secara perlahan-lahan sedang pulih sejak pandemik Covid-19 awal tahun ini.

Menurut laporan penginapan daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH), penginapan keseluruhan negara adalah kira-kira 38 peratus dengan penghunian tinggi dicatatkan di destinasi pantai dan pulau manakala bandar-bandar masih pada 20 peratus.

"Oleh itu, saya percaya industri pelancongan domestik akan pulih secara bertahap apabila kita mempunyai sokongan daripada semua pihak di negara ini," katanya. - Bernama