X

Kindly register in order to view this article
!

Liverpool tak perlu tiru City, Chelsea

Klopp memiliki ramuan tersendiri bagi membentuk barisan terbaik bagi menghadapi saingan EPL musim baharu 2020/2021.
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp jelas tidak terkesan dengan apa yang dilakukan dua pencabar The Reds - Manchester City dan Chelsea yang dilihat berbelanja besar bagi mengharungi musim baharu 2020/2021.

Sebaliknya, Klopp optimis dengan barisan pemain sedia ada bagi meneruskan misi mereka memburu trofi kejuaraan biarpun tidak dibarisi muka baharu berstatus bintang.

Setakat ini, Klopp hanya membawa masuk pemain pertahanan kiri, Kostas Tsimikas dari Olympiacos dengan bayaran perpindahan berjumlah 11.25 juta pound (RM60.88 juta).

"Ketika ini, kita semua berada di dunia yang penuh dengan ketidaktentuan. Bagi sesetengah kelab, ia seperti kurang ada kepentingan mengenai masa depan yang tidak menentu ini.

"Maksudnya, kelab itu dimiliki oleh sebuah negara, dimiliki oligarki (pemilikan oleh kelompok kecil yang berkuasa), itulah sebenarnya. Kami kelab yang berbeza," katanya.

Berbanding Liverpool, Chelsea dilihat berbelanja besar apabila sudah membeli Timo Werner - pemain yang cuba dibeli The Reds sebelum pandemik Covid-19 serta Kai Havertz, Thiago Silva, Ben Chilwell dan Hakim Ziyech dengan bayaran keseluruhan melebihi 200 juta pound (RM1.082 juta).

City juga tidak mahu ketinggalan dalam urusan pembelian muka baharu apabila berjaya melengkapkan tiga perpindahan besar dengan membawa masuk Nathan Ake dan Ferran Torres dan masih memburu seorang pemain pertahanan baharu.

Begitupun, Klopp memberitahu, dia harus berhati-hati sambil membayangkan pengendali Chelsea, Frank Lampard akan berdepan dengan tekanan menjelang musim baharu nanti.

''Kami mara ke final Liga Juara-Juara sejak dua musim lalu dan menjuarainya setahun kemudian dan menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL)) musim lalu dengan cara dan apa yang kami ada.

''Kami tidak boleh mengubahnya dalam satu malam dan berkata kami sekarang mahu menjadi seperti Chelsea. Mereka telah membawa ramai pemain baharu tetapi mereka juga perlu cergas bersama secepat mungkin, ia bukan hanya membawa masuk kualiti.

''Anda tidak boleh membawa masuk 11 pemain terbaik dunia dan berharap hanya selepas seminggu mereka dapat mempamerkan aksi terbaik. Itu mungkin akan menjadi kelebihan kepada kami. Kami telah lama bekerjasama dan cukup mengenali antara satu sama lain," ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!