Jalan akan dibuka, kesesakan sekitar Saujana Utama selesai

Khairuddin (enam dari kanan) bersama Izham (tujuh dari kanan) ketika meninjau lokasi laluan baharu di Saujana Utama, Sungai Buloh hari ini.
Khairuddin (enam dari kanan) bersama Izham (tujuh dari kanan) ketika meninjau lokasi laluan baharu di Saujana Utama, Sungai Buloh hari ini.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Isu kesesakan di sekitar Saujana Utama di sini dijangka bakal selesai berikutan jalan baharu yang dibina berhampiran Persiaran Shorea akan dibuka secara rasmi pada 29 September ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, perkara itu dipersetujui selepas mengambil kira pandangan keselamatan daripada pihak pemaju, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Dengan pembukaan laluan tersebut, katanya. ia akan dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 200,000 penduduk di Saujana Utama.

"Setelah mengambil kira semua faktor, akhirnya laluan ini akan dibuka dan dijangka dapat mengurangkan tempoh kesesakan selama satu jam," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sebelum ini, penduduk di sekitar Saujana Utama terpaksa berdepan dengan isu kesesakan lalu lintas yang terus berikutan daripada kepadatan penduduk di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Khairuddin berkata, laluan tersebut sedikit lewat dibuka kepada orang awam kerana terdapat masalah lembu dan kerbau liar berkeliaran yang dilihat akan memberi risiko kepada pengguna lalu lintas.

Beliau berkata, menerusi tinjauan yang dilaksanakan di lokasi berkenaan hari ini, semua pihak telah bersetuju untuk membuka jalan itu bagi kegunaan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

"Jalan ini akan dirasmikan sendiri oleh Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim dalam majlis yang akan berlangsung pada 29 September ini, sekitar jam 12 tengah hari," katanya.

Artikel Berkaitan: