Bomba Johor hargai keberanian kakitangan TNB

Muhammad Ridzuan bersama sijil penghargaan diterimanya.
Muhammad Ridzuan bersama sijil penghargaan diterimanya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keberanian seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyelamatkan penghuni sebuah kediaman yang terbakar mendapat penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.

Pembaca meter TNB, Muhammad Ridzuan Azman, 26, berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari pada 17 Disember lalu, ketika dia sedang menjalankan tugas membaca meter di Bandar Selesa Jaya.

Menurutnya, dia terlihat kepulan asap hitam tebal dari sebuah rumah dan terus bergegas ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan mengetahui punca asap berkenaan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, saya dapati bahagian atas rumah dua tingkat tersebut dipenuhi asap. Saya menjerit sambil membunyikan hon kereta untuk memberi isyarat kepada penghuni rumah, tetapi tiada yang mendengar.

"Saya kemudiannya memberanikan diri untuk masuk ke dalam rumah dan memeriksa jika ada penghuni di dalamnya sambil menelefon bomba. Kemudian didapati dua beradik sedang tidur di ruang tamu dan segera mengejutkan mereka untuk menyelamatkan diri," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sijil penghargaan pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Negeri Johor 2019 di sini, semalam.

Muhammad Ridzuan merupakan antara 12 individu yang menerima sijil penghargaan daripada JBPM Negeri Johor.

Katanya, dia juga cuba untuk mengawal kebakaran di dalam rumah tersebut dengan menggunakan baldi diisi dengan air dan dibantu oleh dua beradik terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Selepas api hampir padam, saya mengarahkan dua beradik ini untuk keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Tidak lama kemudian, bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai tiba dan memberikan bantuan selanjutnya.

"Apa yang saya lakukan ini kerana rasa bertanggungjawab terhadap masyarakat memandangkan saya pada ketika itu berada di lokasi kejadian," katanya.