Penjawat awam kena tipu lebih RM18,000

 Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam kerugian RM18,732 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud pada pertengahan Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 34 tahun berminat untuk membuat pinjaman selepas melihat iklan pinjaman wang berlesen di laman sosial Facebook pada 14 Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian mengisi borang secara dalam talian yang disediakan dan selepas itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama Jason.

"Selepas berbincang, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman RM50,000 dengan bayaran bulanan sebanyak RM620.

"Bermula 25 Ogos hingga Selasa lalu mangsa membuat enam transaksi secara berperingkat dengan jumlah RM18,732.10," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pembayaran itu dibuat sebagai bayaran wang collateral, yuran perjanjian, wang takaful polisi insurans, wang perjanjian pinjaman baharu, bayaran wang tersilap bayar dan wang pembetulan sistem.

"Kesemua transaksi dilakukan secara dalam talian dan melalui mesin deposit tunai (CDM) ke tiga akaun bank yang berbeza.

"Selepas melakukan transaksi, mangsa masih tidak mendapat wang pinjaman yang dijanjikan sehingga kini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa yang merasakan telah ditipu segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.