X

Kindly register in order to view this article
!

‘Kami sudah sedia sahut cabaran’

Aaron (depan) dan Wooi Yik menjadi taruhan terbaik Malaysia untuk menyumbang mata pada kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark bulan depan.
A
A

PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia menyifatkan status sebagai gandingan utama bersama Soh Wooi Yik pada kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan sebagai cabaran positif.

“Saya percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih kami adalah berdasarkan kedudukan ranking dunia dan status sebagai beregu pertama negara pada ketika ini.

“Saya akui ada sedikit tekanan kepada kami apabila diletakkan sebagai beregu utama untuk mengutip mata pada Piala Thomas kali ini. Situasi sama juga pernah berlaku semasa Sukan SEA di Filipina tahun lalu apabila kami menjadi sandaran utama.

“Apa pun lumrah pertandingan pasti akan ada tekanan. Jadi dengan pengalaman beraksi dalam beberapa pertandingan antarabangsa sebelum ini, kami akan gunakan sebaik mungkin bagi menghasilkan keputusan positif.

“Jadi setiap tekanan itu kami akan sahut sebagai satu cabaran positif dalam mematangkan corak permainan kami. Kami akan memberikan aksi terbaik kerana taktikal pasukan lawan pasti berbeza dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada kempen Piala Thomas kali ini, Aaron dan Wooi Yik diletakkan sebagai pilihan utama acara beregu diikuti gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Pada masa sama, Aaron memberitahu, barisan pemain negara termasuk skuad wanita sedang giat memperbaiki teknik dan meningkatkan prestasi permainan masing-masing.

“Masa sudah tidak banyak lagi, jadi baki masa yang ada sekarang sememangnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain-pemain dengan menggandakan latihan.

“Walaupun tiada kejohanan antarabangsa akibat Covid-19 tetapi inisiatif BAM menganjurkan kejohanan jemputan bulan lalu ternyata memberi impak positif kepada setiap pemain.

“Sebenarnya mental dan fizikal kami sudah bersedia 100 peratus untuk mengharungi saingan Piala Thomas kali ini. Cumanya sekarang kami meneruskan latihan seperti biasa sebelum berlepas ke Denmark hujung bulan ini,” jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!