X

Kindly register in order to view this article
!

Zahidi digesa dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Gambar dari kiri: Zahidi Zainul Abidin, Raj Munni Sabu
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Senator Malaysia hari ini menggesa Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara.

Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia, Raj Munni Sabu berkata, ia bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung tindakannya yang didakwa memberikan jawapan tidak benar semasa persidangan Dewan Negara pada Khamis lalu berhubung manfaat program merapatkan jurang digital kerajaan di Sabah dan negeri lain.

“Beliau gagal fokus untuk memberikan jawapan kepada soalan, sebaliknya memberikan tumpuan kepada contoh yang dikemukakan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang menceritakan tentang perihal kepayahan pelajar di pedalaman Sabah Veveonah Mosibin dalam mendapatkan capaian internet semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Zahidi menuduh Veveonah sebagai menipu apabila pelajar itu memaklumkan beliau terpaksa berada di atas pokok selama 24 jam untuk mendapatkan sambungan internet bagi menduduki peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raj Munni berkata, walaupun Zahidi memohon maaf menerusi akaun Facebooknya, namun perkara itu telah mendatangkan kesan buruk dan negatif terhadap pelajar itu dan keluarganya serta menjadi mangsa buli siber ekoran kenyataan yang silap itu.

“Oleh itu timbalan menteri berkenaan perlu segera dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara bagi membolehkan jawatankuasa itu memutuskan sama ada benar dakwaan Zahidi yang mengatakan beliau mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan itu,” katanya.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!