X

Kindly register in order to view this article
!

JPS lancar kempen sebagai persediaan hadapi banjir

Mohd Razali Husain (tengah) ketika taklimat KARIB di Pejabat JPS Malaysia di Ampang semalam.
A
A

AMPANG - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia semalam memperkenalkan Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir (KARIB) yang dipacu dengan teknologi inovatif serta sistem komprehensif dikenali sebagai Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB).

Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara JPS, Ir Mohd Razali Husain berkata, KARIB dan PRAB mampu memberikan amaran awal sebelum berlaku banjir, membolehkan persediaan dan persiapan rapi sebelum banjir melanda.

"Melihat kepada tahun 2014 lalu, negeri-negeri di pantai timur negara hampir dilumpuhkan oleh banjir monsun yang besar, berlainan dengan musim yang biasa dan kalanya tidak dijangka meninggalkan kesan yang mendalam buat seluruh negara.

"Kejadian banjir monsun setiap tahun menelan kerugian berbilion ringgit kepada negara, memberi impak negatif kepada ekonomi negara yang sedang dalam fasa pemulihan berikutan ekonomi dunia yang sedang merudum.

"Lebih-lebih lagi, situasi banjir yang dialami oleh komuniti yang terkesan pada tahun ini dijangka menjadi lebih rumit dengan Covid-19 masih menjadi ancaman," katanya pada taklimat KARIB di JPS Malaysia di Ampang di sini semalam.

Mohd Razali berkata, dalam situasi berkenaan, amaran awal adalah amat penting dalam memastikan masa yang secukupnya untuk bersiap dan bertindak.

Pusat Operasi Amaran Banjir bertempat di JPS Ampang semalam.
Pusat Operasi Amaran Banjir bertempat di JPS Ampang semalam.

"Sebelum pelaksanaan PRAB, sistem ramalan dan amaran banjir sedia ada bergantung kepada sumber yang terhad dan hanya memberikan amaran enam jam sebelum banjir berlaku.

"Transformasi kepada PRAB melahirkan sistem yang lebih komprehensif yang mampu memberikan ramalan seawal tujuh hari dan amaran dua hari sebelum banjir berlaku kepada agensi yang berkepentingan serta komuniti yang terkesan," katanya.

Beliau berkata, manfaat menerusi program itu, agensi penyelamat dapat menyusun strategi operasi pemindahan penduduk dengan lebih cekap dan teratur serta memberikan masa yang lebih untuk komuniti yang terkesan membuat persiapan dan persediaan yang rapi.

"Fasa pertama PRAB telah mula beroperasi bagi lembangan sungai Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala fasa kedua sedang dijalankan di 38 lembangan sungai utama seluruh negara.

"Walaupun PRAB dijangka boleh memberikan faedah yang besar kepada penduduk yang terkesan oleh banjir monsun, kesedaran untuk bertindak lebih awal dan tanggungjawab selaku barisan hadapan keluarga dan komuniti masing-masing perlu dipertingkatkan lagi," katanya.

Beliau menambah, dalam pelan jangka masa panjang, KARIB dijangka menjadi pemangkin untuk setiap individu berganding bahu untuk membuat perubahan yang positif dalam kalangan komuniti masing-masing, dibangunkan daripada peringkat akar umbi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!